Skip to main content

Mahasiswa Perlu Berjiwa Besar dan Cintakan Ilmu

Kuantan, 3 September- Mahasiswa perlu mengambil peluang memanfaatkan ruang dalam kampus dengan mengambil bahagian dalam aktiviti kemahasiswaan sama ada berpesatuan mahupun melibatkan diri dalam aktiviti ko-kurikulum atau badan beruniform. Keseimbangan mahasiswa itu turut bergantung kepada keintelektualan ilmu yang boleh diperolehi dengan menanam sikap rajin membaca buku bagi membina keyakinan terhadap gaya kepimpinan.

Menurut Pengarah Bahagian Mahasiswa Holistik, Jabatan Pendidikan Tinggi, Dr Zaid Omar, selain pemansuhan AUKU, pengembalian kuasa pelajar untuk menguruskan Pilihan Raya Kampus mereka sendiri serta pengembalian hak kebebasan bersuara dan kebebasan pelajar untuk menyertai mana-mana parti politik bakal mewarnai aktivisme mahasiswa melalui penubuhan Kesatuan Pelajar juga merupakan aspirasi yang sangat penting untuk dilaksanakan.

Dengan adanya Kesatuan Pelajar atau dikenali sebagai Students’ Union yang merupakan sebahagian daripada aspirasi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) terhadap perjalanan reformasi institusi pendidikan tinggi ianya akan melahirkan graduan yang dewasa, matang, berdikari dan yang paling penting bersedia untuk mengemudi perubahan.

“Mahasiswa universiti mesti berfikir lebih jauh, berjiwa besar, mengangkat isu-isu yang besar dan mustahak dan berperanan penting kepada bukan sahaja di universiti malahan di peringkat antarabangsa. Hubungan baik pihak pengurusan yang mempunyai sikap empati dalam menyantuni permasalahan mahasiswa menjadikan aktivisme mahasiswa ini mampu meningkatkan status kehidupan masyarakat,” katanya.

Selain itu, bagi Presiden Majlis Belia Malaysia, Jufitri Joha dengan menerapkan budaya minat membaca dalam kalangan mahasiswa dapat mempertingkat idealisme mereka dan menerapkan dalam diri budaya aktivisme sebagai kekuatan bagi membangunkan jati diri mahasiswa dan belia agar bijak memimpin serta mengurus.

Katanya, kajian interim oleh Perpustakaan Negara Malaysia yang baru ini  mendapati bahawa tabiat membaca rakyat Malaysia sebenarnya telah meningkat. Pada tahun 2014, rakyat Malaysia dikatakan membaca secara puratanya sebanyak 15 buah buku setahun.

“Mahasiswa mahupun belia mempunyai satu tanggungjawab bukan sahaja untuk belajar tetapi membangunkan masyarakat dan ummah. Justeru, golongan ini perlu menghak- upayakan dalam mengasah bakat kepimpinan.

Mencontohi Sarjana Islam, Dr Yusuf al-Qaradawi sebagai ilmuan, pendakwah dan tokoh gerakan yang hebat. Beliau aktif dalam gerakan kemahasiswaan, aktivis sosial dan memiliki pemikiran intelektual yang dapat menyumbang kepada konsep pembaharuan dan mempromosikan idea-idea,” katanya.  

Ujar beliau, sebagai mahasiswa menuntut ilmu itu tiada kompromi. Malah kita disarankan mencintai buku dan membudayakan ilmu dengan membaca buku selain daripada silibus yang ditetapkan pihak universiti.

Selain itu mahasiswa perlu menukar status daripada mahasiswa biasa kepada mahasiswa yang mempunyai pemikiran global, menjuarai isu kemahasiswaan dan masyarakat serta jurubicara terhadap isu antarabangsa termasuk isu keadilan dunia.

Ujarnya, biarlah hidup ini memberi makna kehidupan dan bergaul dengan seluruh masyarakat yang boleh berinteraksi dengan masyarakat di luar.

Manakala bekas aktivis mahasiswa yang juga Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri & Hal Ehwal Pengguna,  Mohamad Hisomudin Bakar pula menyarankan mahasiswa perlu memahami pola dan `trend’ semasa. Cara berinteraksi dalam media anak muda sekarang berbeza dibandingkan zaman sebelum ini.  Malahan generasi pada masa ini juga dilihat tidak berminat dalam politik atau kepartian serta tidak minat membaca. Mereka juga lebih sukakan bahan informasi yang berbentuk info grafik.

Namun katanya, pentingnya berpersatuan ini adalah bagi mendedahkan medium berinteraksi, kreatif menyampaikan mesej dan mendapatkan manfaat daripada kemahiran ini. Mahasiswa perlu memperbanyakkan berdialog bagi menyelesaikan permasalahan yang timbul dan setiap universiti mempunyai citra mereka tersendiri dalam membentuk nilai aktivisme pelajar dan Kesatuan Pelajar yang wujud mesti selari dengan identiti setiap universiti.

Ketiga-tiga mereka ini tampil dalam Siri Bicara Cendekiawan Mulia Siri ke-4 anjuran Pejabat Naib Canselor dan  Persatuan  Kakitangan Akademik UMP (Pakad)  bertajuk “Aktivisme Mahasiswa dan Belia: Menasihati atau Menggugat?” bersempena Minggu Induksi Siswa 2019 yang menampilkan Timbalan Presiden PAKAD,  Dr Ahmad Johari Mohamad sebagai moderator. 

Lebih 2000 mahasiswa baharu hadir dan majlis ini yang turut dihadiri Naib Canselor UMP, Prof. Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusoff, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Dato Dr Yuserrie Zainuddin dan  Setiausaha Agung Majlis Belia Malaysia, Hasnul Haniff Harun.  

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri