Skip to main content

Mahasiswa UMP gigih kumpul sumbangan bantu mangsa gempa bumi Palu

Kuantan, 19 Februari- Prihatin dengan nasib mangsa tragedi gempa bumi dan tsunami yang melanda Kota Palu di Indonesia pada 28 September tahun lalu, sukarelawan Universiti Malaysia Pahang (UMP) yang digerakkan oleh Gerakan Pengguna Siswa (GPS) dengan kerjasama Persatuan Pelajar Kejuruteraan Kimia (CHEST)  menganjurkan program Misi Kemanusiaan Palu untuk membantu meringankan beban mangsa di sana.

Misi akan berlangsung pada 11 hingga 16 Mei depan iaitu pada bulan Ramadhan mendapat kerjasama pihak Yayasan Dana Kebajikan Muslim Malaysia (YDKMM) dan Rumah Zakat (badan bukan kerajaan dari Indonesia). YDKMM dan Rumah Zakat ini mempunyai pengalaman dalam membantu mangsa bencana bersiri iaitu gempa bumi, tsunami dan lifukfasi tanah.  

Menurut Eksekutif Kanan Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni yang juga penasihat program, Abd. Rahman Ahmad  berkata, pihaknya mensasarkan antara bantuan yang akan diberikan kepada mangsa bencana adalah penempatan sementara, sekolah sementara dan tandas. 

“Kelainan misi kali ini adalah pada bulan Ramadhan dan sukarelawan UMP akan merasai suasana bulan Ramadhan di Kota Palu. Selain sukarelawan UMP, misi kali ini akan melibatkan sukarelawan daripada universiti awam.  Program ini juga akan dapat melahirkan mahasiswa yang bukan sahaja hebat dalam pelajaran malah mempunyai semangat sukarelawan yang tinggi, berkomunikasi dan berinteraksi dengan dunia luar” katanya.

Sementara itu, pengarah program yang juga Exco Kesukarelawanan dan Khidmat Komuniti Majlis Perwakilan Pelajar, Ezwan Shah Nordin, sehinggan kini kutipan mencecah 20 ribu dan pihaknya mensasarkan kutipan sebanyak RM 100,000.00 bagi membina lebih banyak rumah sementara untuk membantu mangsa di sana supaya mereka dapat beraya dalam keadaan baik dan meriah.

Beberapa aktiviti juga akan diadakan seperti berbuka puasa dan sahur perdana bersama masyarakat Palu, program khidmat komuniti dan motivasi akademik dengan kanak-kanak di Palu memandangkan kanak-kanak di sana telah ketinggalan dalam pelajaran.

Berlangsung baru-baru ini pelancaran Tabung Misi Kemanusiaan Palu yang disempurnakan oleh Naib Canselor UMP, Profesor Dato Sri Dr Daing Nasir Ibrahim. Selain mendapatkan sumbangan dan tajaan syarikat korporat, pihaknya menganjurkan beberapa program termasuklah Palu Charity Run dan Festival Jualan Makanan  yang mendapat sambutan ramai.

Bagi orang ramai yang berhasrat menyumbang boleh terus salurkan ke akaun rasmi MAYBANK No Akaun – 556235304242 atas nama Bendahari Universiti Malaysia Pahang (UMP). Segala sumbangan ini perlu dimaklumkan kepada Bendahari Program Misi Kemanusiaan Palu iaitu NoorIlmiah Datu Moksan di talian (014-5641887) bagi tujuan dokumentasi di Pejabat Bendahari UMP.

Disediakan oleh Awani Rangers UMP, Nor Fatin Nabilah Mohd Tahir dari Kelab Media Massa UMP dan Suntingan Bahagian Komunikasi Korporat . 

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri