Skip to main content

Mahasiswa UMP teruja berbuka puasa secara santai di padang  

Kuantan , 16 Mei – Berbuka puasa di tempat umum sambil ditemani rakan dengan cara sederhana ternyata memberikan pengalaman baharu buat 40 mahasiswa Universiti Malaysia Pahang (UMP). Mereka merupakan penerima manfaat biasiswa MyGift dan Skuad MyGiftUMP yang berpeluang berbuka puasa secara santai di padang Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) 2 yang merupakan lokasi tumpuan ramai warga Kuantan tatkala menjelangnya bulan Ramadan.

Turut hadir dalam program ini, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dato' Dr. Yuserrie Zainuddin dan Pegawai MyGift UMP, Mohd. Jamil Mohd. Jaafar.

Bagi mahasiswa UMP, Syamill Irhamie Shamsudin,24 daripada Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FKMP) menyifatkan program seumpama ini dapat memberi peluang buat mahasiswa untuk beramah mesra di samping dapat mengeratkan lagi hubungan baik serta berkongsi maklumat mengenai program yang akan dijalankan pada masa akan datang.

“Peluang berharga ini juga turut memberi peluang dan kesempatan buat mahasiswa beramah mesra dengan pengunjung di samping menjalankan aktiviti dengan mengagihkan kurma kepada komuniti setempat dan memperkenalkan UMP ke khayalak ramai,” ujar beliau. 

Selain itu katanya, pengalaman berbuka puasa sambil menikmati keenakan juadah khususnya kuih-muih tradisional dari negeri Pahang di lokasi tumpuan ramai ini pastinya menjadi kenangan buatnya apabila menamatkan pengajian nanti.

Sementara itu bagi Nur Syafiqah Omar, mahasiswa Fakulti Kejuruteraan Mekanikal & Pembuatan (FKMP) yang juga merupakan pemegang manfaat biasiswa MyGift di bawah Tabung Endowen Biasiswa berbangga kerana berpeluang menyertai program. Malahan melalui program ini juga turut diadakan sesi perkongsian idea dan pendapat bagi penerima manfaat biasiswa untuk merencana program pada semester akan datang.

Tambah beliau lagi, program-program seumpama ini perlu dipergiat dan diperbanyakkan lagi dan tidak seharusnya tertumpu pada bulan Ramadan sahaja bagi memastikan komuniti dapat mengenali UMP dengan lebih dekat.  

Padang MPK 2 yang berhampiran dengan dengan masjid negeri merupakan lokasi tumpuan buat warga Kuantan serta menjadi suatu tradisi buat umat Islam untuk berbuka puasa beramai-ramai di sini.

Disediakan Siti Nurfarmy Ibrahim daripada Bahagian Komunikasi Korporat