Skip to main content
Minat terhadap STEM, Kamil Khalili cipta pelbagai program tarik minat pelajar

Minat terhadap STEM, Kamil Khalili cipta pelbagai program tarik minat pelajar

Kuantan, 12 Februari - Minat yang mendalam terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) banyak memberi pendedahan buat mahasiswa Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal & Automatif (FTKMA), Kamil Khalili Haji Abdullah dalam menjalankan pelbagai program sebagai usaha memupuk minat pelajar sekolah terhadap mata pelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik sejak di bangku sekolah.

Penglibatan secara aktif dalam projek mySTEM Mentor, Pahang National Hackathon dan Foxhunting sepanjang tahun lalu memberikan peluang buatnya dipilih menerima Anugerah Tokoh Siswa dalam Kluster Pembangunan Akademik dan Intelektual bagi kategori STEM bagi tahun 2019.

"Semua pelajar wajar diberi peluang untuk mencuba dan mendalami bidang STEM tidak kira apa jua latar belakang bahkan STEM merupakan satu bidang yang sangat seronok untuk dipelajari dan digunakan tidak kira sekadar hobi mahupun dijadikan sebagai kerjaya apatah lagi sebagai persiapan mendepani revolusi perindustrian 4.0,” ujarnya.

Menurutnya, kaedah yang berkesan untuk menyokong pendidikan STEM adalah dengan menyediakan pembiayaan dan latihan yang lebih baik bagi aktiviti seperti  pengangkutan, sumber seperti komponen elektronik atau komputer riba dan juga latihan kepada mentor projek untuk meningkatkan kemahiran mengajar agar pelajar dapat memahami dengan lebih mudah.

Selain dari penglibatan sebagai mentor dan fasilitator bagi program-program berkaitan STEM, anak kelahiran Kuala Lipis, Pahang ini juga terlibat dalam penghasilan kit dan modul pengajaran berkaitan teknologi robotik dan asas bahasa pengaturcaraan komputer. Dalam pada itu, dorongan dan sokongan para pensyarah UMP turut memberikan mahasiswa lebih banyak peluang untuk menerokai bidang STEM ini.  

Beliau juga dalam rangka kerja menyiapkan buku panduan bagi beginner dalam menggunakan Raspberry Pi yang mensasarkan penggunaannya kepada pelajar sekolah. Buku ini juga akan menerangkan mengenai programming dan robotik yang mana programming akan menceritakan mengenai python programming yang paling banyak digunakan di dunia. Manakala robotik pula akan mengetengahkan cara-cara pergerakan dan kawalan terhadap robot bertayar.

Kamil Khalili pernah diobatkan johan dalam pertandingan Inovasi Yo! anjuran TV3 pada tahun 2012 dan meraih pingat gangsa dalam pertandingan Invention, Innovation & Design Exposition (IIDEX) pada tahun yang sama.

Disediakan oleh Siti Nurfarmy Ibrahim daripada Unit Perhubungan Awam dan Media