Skip to main content

PdP dalam talian kebiasaan baharu pelajar UMP

Pekan, 1 Jun 2020 - Pelajar Universiti Malaysia Pahang (UMP) memulakan kelas maya sesuai dengan kebiasaan baharu dalam Pengajaran dan Pembelajaran Dalam Talian (PdP-DT) yang dilaksanakan mulai 1 Jun baru-baru ini.  

Barisan pensyarah turut memainkan peranan yang penting dalam memastikan semua pelajar dapat mengikuti norma baharu dalam PdP-DT.

Sejak fasa 1 Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Pusat Sumber Pengajaran & e-Pembelajaran (CIReL) dan Pusat Inovasi & Daya Saing Akademik (PIDA) menganjurkan beberapa siri Forum Persediaan Pengajaran dan Pembelajaran Dalam Talian sebagai persiapan untuk para pensyarah. 

Ini termasuklah menyediakan bahan-bahan dan aktiviti PdP-DT dan memilih strategi yang bersesuaian untuk meneruskan keperluan pengkuliahan.

Menurut Timbalan Pengarah CIReL, Ts. Dr. Awanis Romli, pensyarah juga dinasihatkan membuat kaji selidik terhadap capaian internet dalam kalangan pelajar sebelum sesi PdP-DT berjalan. 

“Ia amat penting dalam memastikan para pelajar mempunyai akses kepada internet.  

“Kaedah PdP-DT turut memberi pilihan kepada pensyarah untuk mengadakan sesi PdP-DT iaitu secara segerak (synchronous) atau secara tidak segerak (asynchronous) ataupun PdP-DT berasaskan kombinasi di antara segerak dan tidak segerak. 

“Kita sedar masih terdapat pelajar yang langsung tidak mempunyai akses kepada internet kerana mereka tinggal di kawasan pedalaman. 

“Jika di kawasan tempat tinggal pelajar tidak mempunyai kemudahan akses kepada internet, para pensyarah perlu kreatif dan boleh mengambil inisiatif untuk membuat penghantaran material pembelajaran secara pos kepada para pelajar,” katanya. 

Tambah beliau lagi, kaedah pos ini perlu dilaksanakan untuk memastikan para pelajar tidak akan ketinggalan dalam proses PdP sekaligus memastikan para pelajar dapat mencapai Course Learning Outcomes untuk setiap kursus yang diambilnya. 
 
Bagi pelajar program Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Teknologi Grafik & Multimedia) dari Fakulti Komputeran UMP, Siti Rahimah Abdul Hamid, sejak awal Mei lagi beliau telah sedia maklum tentang pembelajaran secara maya yang bermula pada 1 Jun ini. 

Siti Rahimah Abdul Hamid
Siti Rahimah Abdul Hamid

Beliau telah memuat turun nota dalam KALAM yang merupakan platform utama Sistem Pengurusan Pembelajaran (LMS) bagi membolehkannya mengulang kaji subjek terdahulu sebelum kuliah bermula.
 
“Namun begitu, pembelajaran secara maya ini sedikit sebanyak bakal memberi cabaran buatnya terutamanya dari segi tahap capaian internet dan kekurangan buku rujukan serta nota memandangkan kebanyakannya berada di kolej kediaman UMP.
 
“Selain itu, saya akan mengambil subjek Virtual Reality dan agak risau terhadap keperluan bimbingan pensyarah secara bersemuka dan subjek ini juga memerlukan hardware dan software di makmal. 
“Walau bagaimanapun, beliau yakin pensyarahnya akan melakukan yang terbaik bagi membolehkan para pelajar menyelesaikan sebarang tugasan dengan keterbatasan alatan,” katanya. 
Beliau turut menghargai inisiatif pensyarah yang bertungkus-lumus menyediakan bahan pembelajaran dan mengemas kini maklumat secara berkala. 
Begitu juga dengan pemberian 40 GB data percuma YES 4G yang sedikit sebanyak dapat membantu para pelajar.
Manakala bagi pelajar tahun 1, Puteri Idayu Zulaika Zafri dari Kuala Terengganu yang mengikuti jurusan Kejuruteraan Perisian berkata, beliau menyediakan satu tempat khusus untuknya belajar di rumah. 

Puteri Idayu Zulaika Zafri
Puteri Idayu Zulaika Zafri

“Pengalaman mengikuti pembelajaran dalam talian (online) sebelum pulang bercuti membolehkan saya mengadaptasi dengan kebiasaan baharu ini. 

“Paling mencabar apabila pelajar jurusan komputer seperti saya tidak mempunyai komputer riba yang mempunyai kapasiti ram yang tinggi untuk muat turun banyak aplikasi programming

“Namun, ia bukanlah halangan untuk saya berusaha mencapai sasaran pencapaian yang baik pada semester ini,” katanya. 
 
Manakala Kong Heng Leong yang merupakan pelajar tahun 2 jurusan Ijazah Sarjana Muda Bioteknologi Industri, Fakulti Sains dan Teknologi Industri pula berpendapat, universiti telah mencuba sedaya upayanya yang terbaik untuk mengurangkan implikasi COVID'19 terhadap aktiviti akademik. 

Kong Heng Leong
Kong Heng Leong

Bagi dirinya, beliau juga telah mencuba berapa laman sesawang yang membekalkan pembelajaran secara dalam talian untuk membiasakan diri sebelum kelas bermula. 

Harapannya agar semua pelajar dapat mengadaptasi kebiasaan baharu ini dalam memastikan pengkuliahan berjalan lancar.  

UMP menjalinkan kerjasama dengan dua syarikat telekomunikasi, iaitu Telekom Malaysia yang menawarkan  pek Pelajar Unifi Mobile dan pihak YTL Foundation yang menawarkan 40GB plan data secara percuma melalui inisiatif Learn From Home sebagai kemudahan internet kepada para pelajar UMP hasil usaha sama Pusat Teknologi Maklumat dan Komunikasi. 

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Admin UMP News