Skip to main content

Pelindung Muka D.I.Y Buat Petugas Barisan Hadapan

Kuantan, 28 Mac- Menyedari kelengkapan seperti alat pelindung muka (face shield) yang semakin berkurangan dan kepentingannya buat petugas perubatan yang sedang berkhidmat di hospital yang merawat pesakit Covid-19 di seluruh negara. Ianya memberikan inspirasi buat ramai pihak menghasilkan pelindung muka D.I.Y dengan menggunakan bahan yang mudah diperolehi dan boleh disiapkan dengan kadar segera.

Begitu juga dengan sukarelawan mahasiswa Universiti Malaysia Pahang (UMP) yang tampil menghulurkan tangan menyiapkan pelindung muka pakai buang (D.I.Y) untuk digunakan oleh para petugas barisan hadapan sejak beberapa hari lalu.  

Menurut Pegawai Perubatan Pejabat Kesihatan Daerah Kuantan, Dr. Muhammad Sirri Ammar Ramzan, dalam keadaan yang agak terhad ini keperluan pelindung muka amat penting buat petugas barisan hadapan ini mengelakkan diri dari terdedah kepada risiko secara langsung yang boleh mengancam nyawa akibat jangkitan virus Covid-19 ini.

Pihaknya menghargai komitmen mahasiswa dan kerjasama pihak UMP dalam menjayakan usaha ini. Setakat dua hari ini sebanyak 500 pelindung muka berjaya dihasilkan dan pihaknya akan menyelaras agihan ke setiap pejabat kesihatan, klinik dan hospital mengikut keperluan segera.

“Bagi setiap sesi hanya dihadkan kepada 20 sukarelawan sahaja dan sebagai menjamin tahap kebersihan, setiap sukarelawan perlu disaring dan diberikan taklimat penjagaan kesihatan oleh pegawai perubatan yang bertugas serta mematuhi jarak sosial 1 meter semasa proses menyiapkan alat pelindung muka ini,” ujarnya yang hadir di UMP Gambang.

Dengan sasaran sebanyak 6000 pelindung muka untuk dihasilkan, pihaknya mengalu-alukan sebarang kerjasama pihak NGO dan institusi pendidikan tinggi untuk sama- sama menjayakan usaha ini.  

Sementara itu bagi mahasiswa UMP, Nursyazwani Zainurin,22, yang tinggal di kolej kediaman sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini berbangga apabila dapat sama-sama menyumbang sesuatu buat petugas kesihatan selain memanfaatkan memanfaatkan masa yang terluang di kampus.   

Dalam pada itu juga sumbangan  sekumpulan pensyarah daripada Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekatronik dan Automotif (FTKMA) dengan menghasilkan sebanyak 200 pelindung muka D.I.Y juga  berjaya membantu petugas kesihatan di Pejabat Kesihatan Daerah Pekan dan Hospital Pekan.   

Pelindung muka yang dihasilkan ini berkemampuan menghalang titisan atau hembusan air (liquid) di antara pesakit dan pengendali kerana ianya bersifat kalis air. Ianya sesuai digunakan di klinik atau hospital yang memerlukan pengendalian direct antara pesakit dan pengendali bagi mengelakkan rembesan air (liquid) ke muka pengendali.

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri