Skip to main content

Peluang Jelajah Kampus Universiti dalam Program Explorace d’UMP

Kuantan, 12 Disember – Aktiviti berpasukan ‘team building’ atau eksplorasi  kerap kali dilakukan sama ada dalam hutan, perkhemahan, rekreasi mahupun hotel atau pun resort. Tampil berbeza dari kebiasaan, sepasukan staf daripada FPG Oleochemicals Sdn Bhd kali ini memilih menara gading sebagai lokasi untuk mengadakan program membabitkan seramai 12 orang staf dari Jabatan Kewangan dan IT FPG Oleochemicals Pahang dalam Program Explorace d’UMP di Universiti Malaysia Pahang (UMP) Gambang.

Program dikendalikan pihak Pusat Sukan dan Kebudayaan dengan kerjasama Pejabat Naib Canselor. Aktiviti Explorace ini melibatkan lima orang fasilitator yang diketuai oleh Pegawai Belia dan Sukan, Nor Juhaida Basri.

Bagi Nor Juhaida , aktiviti bermula pada jam 8.15 pagi dengan aktiviti Ice Breaking  dan terdapat enam aktiviti disusun sepanjang program yang berakhir jam 6.00 petang. Antaranya yang menjadi tumpuan adalah di Kompleks Sukan Universiti (Triple Volleyball & Yank Me), Taman Herba berhampiran Makmal Fakulti (Kuiz), Blok W (Puzzle & Back Flip), Pusat Ko (Blind Spot), Gelanggang Futsal (Ping Pong Balance) dan Studio Tarian (Lets to Dance).

Bagi Pengarah Pusat Sukan dan Kebudayaan UMP, Abd. Rahman Hj. Safie, program ini memberi peluang orang ramai masuk sekitar kawasan universiti dan merasai kehidupan kampus di samping menjalinkan hubungan baik dengan komuniti setempat.

“Ianya juga sebagai menyahut seruan universiti menjadikan UMP sebagai salah satu pusat pendidikan pelancongan (EDU-Tourism). Selain itu, peserta turut berpeluang menyertai lawatan ke Galeri UMP yang mempamerkan sejarah dan produk–produk yang dihasilkan oleh para penyelidik UMP,” katanya yang hadir menyampaikan hadiah kepada pemenang. Turut hadir sama Pengurus Kanan Jabatan Kewangan FPG Olechemicals Sdn Bhd, Mohd Zawawi Salim.

Manakala bagi Mohd Zawawi, beliau amat menghargai komitmen UMP dalam menjayakan program yang julung kali diadakan seperti ini. Ujarnya, setiap tahun pihaknya akan mengadakan aktiviti jabatan dan kali ini agak berbeza. Pihaknya juga berhasrat untuk mencari lebih banyak peluang kerjasama yang dapat memanfaatkan kedua-dua pihak. Dalam pada itu, syarikat FPG Olechemicals Sdn Bhd turut membuka peluang pelajar UMP mengikuti latihan industri dalam menimba pengalaman industri.

Disediakan oleh Nur Sa’adatul Afzan Jusoh dari Bahagian Komunikasi Korporat

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim