Skip to main content

Pemilihan Perwakilan Pelajar UMP pada 27 November ini

Kuantan, 26 November –Pelajar Universiti Malaysia Pahang (UMP) digesa agar menunaikan tanggungjawab memilih pemimpin mereka dengan hadir mengundi dalam Pilihan Raya Kampus pada 27 November ini (Rabu) di  di Dewan Astaka UMP Gambang, Dewan Peperiksaan Mekanikal, UMP Pekan dan Pusat Aktiviti Pelajar UMP Pekan  bermula jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang.

Buat julung kalinya pelaksanaan tatacara pemilihan Perwakilan Pelajar (MPP)  diurus sepenuhnya oleh mahasiswa sebagai menyokong hasrat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam memberi kebebasan terhadap kepimpinan mahasiswa.

Bagi Pengarah Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (PMPP), Mohamed Al Fateh Ab Razak yang mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Kejuruteraan Perisian) di Fakulti Komputeran berkata, pihaknya mengucapkan terima kasih kepada pengurusan UMP atas kepercayaan dan memberi peluang kepada mahasiswa untuk melaksanakananya secara telus dan bebas tanpa campur tangan pihak pengurusan universiti.

“Pendaftaran calon telah bermula pada 5 hingga 20 November lalu melibatkan seramai 52 orang calon yang terlibat dalam penamaan calon, kemudian tempoh berkempen diberikan selama lima hari bermula 22 hingga 26 November 2019 dan Hari Pengundian pula telah ditetapkan pada 27 November 2019 (Rabu)," katanya. 

Mohamed Al Fateh menasihati agar semua pengundi juga perlu mengetahui tatacara di dalam bilik mengundi dengan empat langkah iaitu pengundi masuk ke dalam dewan mengundi, kemudian membuat pengesahan daftar pengundian menggunakan kad pelajar, diikuti dengan pengundi perlu membuat undian di kerusi umum dan kerusi fakulti pada komputer yang disediakan dan yang terakhir pengundi perlu mengesahkan undian dengan menekan butang “selesai” dan keluar dari bilik mengundi.

Pihaknya juga mengingatkan agar pengundi wajib membawa kad pelajar, berpakaian kemas serta perlu mengundi pada masa, tarikh dan tempat yang ditetapkan. Sistem pengundian PMPP masih mengekalkan mengggunakan sistem E-Voting secara atas talian (online) .

Disediakan oleh Nor Salwana Mohd. Idris daripada Bahagian Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri