Skip to main content

Pengerusi LPU Lawat Fasiliti Makmal UMP  

Kuantan, 22 Januari – Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti (LPU) Universiti Malaysia Pahang (UMP), Dato’ Sri Ibrahim Ahmad baru-baru ini meluangkan masa selama dua jam melawat kemudahan makmal penyelidikan dan pembelajaran di UMP Gambang. Ketibaan beliau disambut Naib Canselor UMP, Profesor Dato Sri Dr Daing Nasir Ibrahim bersama pengurusan universiti.

Lawatan bermula di Makmal Fakulti Sains & Teknologi Industri diikuti Makmal Fakulti Kejuruteraan Kimia & Sumber Asli, FIM Learning Factory, GMP Lab Fakulti Kejuruteraan Teknologi, Pusat Penyelidikan Aliran Bendalir Termaju (CARIFF), Pusat Kecemerlangan Bio-Aromatik (BARCE) dan Pusat Kecemerlangan IBM.

Sepanjang kunjungan, Dato’ Sri Ibrahim Ahmad telah diberi penerangan oleh pegawai bertugas di setiap makmal mengenai projek dan fasiliti yang tersedia di setiap makmal tersebut. Beliau juga berpeluang secara langsung bertemu dengan mahasiswa yang sedang menyiapkan projek tahun akhir sambil dimaklumkan mengenai pencapaian yang telah diperolehi.  

Selain itu juga turut beramah mesra dengan mahasiswa pasca siswazah dan melihat fasiliti yang disediakan buat mereka dalam melengkapkan projek penyelidikan dan tesis bagi membolehkan tugasan dapat diselesaikan dan menamatkan pengajian kelak.

Mengulas lanjut hasil lawatan ini, Dato’ Sri Ibrahim melahirkan rasa kagum dan bangga dengan fasiliti makmal yang tersedia di universiti ini. Beliau juga turut berpuas hati dengan aspek keselamatan dan kesihatan dalam pekerjaan yang amat dititikberatkan oleh UMP sekaligus membuktikan bahawa makmal UMP telah diurus secara sistematik dan mengikut ketetapan piawaian antarabangsa.

Turut sama mengiringi sepanjang lawatan adalah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), Profesor Dato’ Dr. Mashitah Mohd Yusof, Pendaftar merangkap Ketua Pegawai Operasi, Abd Hamid Majid dan Pengurus Besar Jabatan Penyelidikan dan Inovasi, Datin Sri Fazia Ali.

Disediakan oleh Mohd. Ferdaus Musa dari Bahagian Komunikasi Korporat

 

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim