Skip to main content

Penghijauan kampus dalam Projek myTREEvolution Integrated CSR

Sebanyak 300 pokok daripada spesies Merawan Siput Jantan, Balau Pasir, Keladan, Meranti Temak, Bintangor Laut dan Damar Minyak  berjaya ditanam dalam projek khidmat masyarakat bersepadu (myTREEvolution Integrated CSR) di bawah Bahagian Hubungan Industri, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan kerjasama Universiti Malaysia Pahang(UMP) di Laman Cendekia UMP Pekan hari ini.

MyTreeVolution Program, National Forest Restoration Project” ini adalah inisiatif Felo CEO@Faculty Programme 2.0 yang terdiri daripada sekumpulan pensyarah dari semua Universiti Awam (UA) di Malaysia, industri, KPT dan badan-badan bukan kerajaan diwujudkan bagi menangani isu alam sekitar yang semakin perlu diberi perhatian rentetan pembangunan pesat di Malaysia. 

Timbalan Naib Canselor ( Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Dato Dr Yuserrie Zainuddin  berkata, penglibatan UMP dalam program seumpama ini selaras dengan hasrat universiti bagi mewujudkan kesedaran alam sekitar, pengetahuan, kemahiran dan kampus hijau dalam kalangan warganya.  

“Penglibatan UMP dalam program CSR bersama  MyTREEvolution amat bermakna terutamanya dalam mencapai matlamat untuk memulihara alam sekitar melalui aktiviti penanaman pokok. Malahan dapat memperkasakan initiatif ini dengan menyampaikan mesej mengenai kesedaran pemeliharaan dan pemuliharaan warisan alam semulajadi kepada pelbagai lapisan masyarakat. 
 

Di samping itu, aktiviti ini turut menyumbang kepada kriteria dalam penarafan UI Green Metric.“ katanya. Sementara itu menurut Ketua Sekretariat Planting of Trees, myTREEvolution CSR,  Prof. Madya Dr. Mohd Fadhil Md Din, UMP merupakan universiti yang ke -10 sejak dilancarkan pada Oktober  2017. Katanya , program ini  mensasarkan 1000 pokok di tanam di setiap  univerisiti menyertai program ini.

Namun pada peringkat permulaan ini,selepas aktiviti penanaman kita akan laksanakan aktiviti tagging dan pemantauan akan diadakan setiap 6 bulan. Bagi pelajar yang terpilih maklumat diri mereka akan diambil dan mereka akan dibekalkan maklumat mengenai pokok yang mereka tanam. Selain itu , semua pokok yang ditanam akan di pantau secara berkala dengan menggunakan aplikasi teknologi maklumat yang boleh di akses oleh masyarakat di seluruh Malaysia.
 

Program seumpama ini bukan sahaja membolehkan masyarakat mendekati alam sekitar, tetapi juga membimbing peserta secara langsung untuk memberikan pendidikan dan pengetahuan yang lebih tepat mengenai program penghijauan bumi. 

Dalam pada itu, program ini berbeza dengan pendekatan program penanaman pokok yang hanya melibatkan proses tanam dan tinggal, yang mana memberikan impak yang rendah (berdasarkan kadar pertumbuhan dan kematian sesuatu anak pokok). 

Lebih 200 sukarelawan bergabung tenaga dan menjayakan program hari ini. Hadir sama Pen. Naib Canselor ( Jaringan Industri dan Masyarakat), Prof Dr Jamil Ismail dan Setiausaha 2 myTREEvolution yang juga Fellow CEO @ Faculty Programme 2.0, Dr Nurhidayah Azmy.

Reports by:
Nur Laila binti Afandi