Skip to main content
Pengunjung mula membanjiri Expokonvo UMP

Pengunjung mula membanjiri Expokonvo UMP

Kuantan, 13 November- Expokonvo Universiti Malaysia Pahang (UMP) kini menjelma kembali selama tujuh hari bermula 11 November 2019 sehingga hujung minggu ini di tapak Expokonvo yang letaknya berhampiran blok W, UMP Gambang bersempena Majlis Majlis Konvokesyen UMP ke -14 yang berlangsung selama dua hari, iaitu pada 16 dan 17 November ini di Kompleks Sukan UMP Gambang. 

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Expokonvo’19 UMP, Haryani Abdullah berkata, Expokonvo  boleh mula dikunjungi seawal jam 8.30 pagi hingga 10.00 malam yang menyediakan lebih 80 gerai jualan berbentuk makanan, minuman, pakaian, aksesori wanita dan lain-lain dan akan bertambah meriah apabila beberapa program bakal berlangsung di pentas utama.  

“Kita mempelawa orang ramai dan masyarakat setempat untuk sama-sama hadir sepanjang Expokonvo berlangsung yang menyajikan pelbagai aktiviti menarik. Dengan adanya program sebegini dapat memberi peluang kepada masyarakat untuk masuk ke UMP di samping menyertai program-program yang dianjurkan selaras dengan hasrat universiti dalam memasyakatkan universiti,” katanya.

ExpoKonvo UMP tampil dengan pelbagai program yang terbuka kepada masyarakat setempat  seperti MasterChef UMP yang bertemakan masakan asia (13 November), Tembikai Challenge (14 November), Pertandingan Maggi Kari berapi (15 November), mewarna kanak-kanak, sand art (16 November)  Future for you bersama artis terkenal Najwa Latif  (16 November) dan Jom Makan Buah yang menjanjikan lebih 10 jenis buah-buahan tempatan dengan kadar bayaran RM 4.00 sahaja buat pengunjung   pada 17 November.

Expokonvo bakal dirasmikan oleh Pengerusi Industri Network Alumni Platform (INAP) UMP, Amir Asraf Hamzah yang merupakan alumni UMP merangkap Pengarah Urusan Profix Engineering Sdn Bhd. pada 14 November 2019.

Aktiviti Expokonvo UMP kali ini turut menampilkan tetamu istimewa yang akan menjayakan program ini iaitu Dai Fuad, Syed Mohd Al Faqeh Muqaddam Syed Mohamad Al Bakir Al Idrus dan Qasidah dari Madrasah Tahfiz MADTLAB Lil Banin dalam Malam Cinta Rasul pada 15 dan 16 November 2019 bertempat di tapak Expokonvo UMP Gambang.  

Di akhir Expokonvo nanti orang ramai juga berpeluang menyaksikan persembahan Sissy Imann yang merupakan seorang penyanyi wanita  terkenal menerusi lagu "Mungkin Kamu” dan Ippo Hafiz mula dikenali ramai dengan  lagu "Rahsia."

Lain-lain yang bakal berlangsung adalah Hari Terbuka Masjid, Streets Sciences@Gallery untuk pelajar sekolah menyertai aktiviti Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dan kaunter “Further Study@UMP” yang terdapat di hadapan bangunan Canseleri di UMP Gambang bagi memberi peluang orang ramai untuk menyambung pengajian di universiti ini.  Bagi orang ramai yang inginkan maklumat lanjut berkenaan dengan Expokonvo boleh lawati Facebook UMP Malaysia atau hubungi talian 09-4245000.

Disediakan Nor Salwana Mohd. Idris daripada Bahagian Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri