Skip to main content

Pengurusan Bakat Berasaskan Kompetensi

Kuantan, 19 Julai- Universiti Malaysia Pahang (UMP) dengan kerjasama Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) Kementerian Pendidikan Malaysia   menganjurkan program Pengurusan Bakat Berasaskan Kompetensi (CBTM) yang merupakan satu agenda strategik dalam pendidikan tinggi Malaysia yang memberi tumpuan kepada transformasi pengurusan sumber manusia melalui elemen kompetensi.

Ianya juga selari dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) bagi Lonjakan 2: Kecemerlangan Bakat. Dengan berobjektifkan meningkatkan pemahaman, pengetahuan dan kemahiran ianya dilaksanakan di seluruh Universiti Awam (UA) melibatkan kepakaran pensyarah daripada Fakulti Pengurusan Industri (FIM) dan Jabatan Pendaftar.

Bagi pensyarah FIM, Dr. Mohamad Rozi Hassan berkata, kedua-dua pihak iaitu AKEPT dan UMP akan melaksanakan program professional dan penulisan berkaitan dengan CBTM. Sehingga kini lebih daripada 80 peserta yang terdiri daripada eksekutif, pentadbir, pengurus dan ketua jabatan pengurusan bakat dan sumber manusia daripada UA menghadiri program yang dijalankan ini.

“Program ini mempunyai 10 modul yang dilaksanakan melalui kaedah kuliah atas talian, analisa kajian kes dan perbincangan interaktif serta penghasilan kerangka kompetensi. Dalam pada itu, pengembangan pengetahuan dan kemahiran dalam kalangan pengurusan sumber manusia juga  merupakan satu platform utama yang digunakan untuk menggerakkan agenda ini dapat direalisasikan di seluruh universiti awam,” katanya.

Tambah beliau, program ini juga telah diberi nilai tambah melalui persijilan Diploma Profesional Pengurusan Bakat berasaskan Kompetensi yang dikelolakan oleh UMP Advanced yang merupakan pusat pengajian sepanjang hayat universiti ini dalam melaksanakan program-program professional di peringkat diploma, ijazah sarjana muda dan sarjana.

Dalam pada itu, berdasarkan permintaan yang tinggi dan impak kualiti yang dihasilkan melalui program ini, pihaknya menjangkakan Kohot Siri ke-2 program CBTM ini akan diteruskan pada tahun hadapan. Manakala modul terakhir bagi kohort pertama juga akan berlangsung di AKEPT pada 24 dan 25 Julai depan yang menampilkan Pengerusi Lembaga Pengarah UMP iaitu Dato Sri Ibrahim Ahmad sebagai penceramah pada kali ini.

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri