Skip to main content

Pentadbir perlu pupuk budaya cemerlang, dinamik dan berfikiran strategik

Pekan, 13 Julai 2020 - Dalam era globalisasi yang semakin kompetitif ini setiap organisasi memerlukan pekerjanya agar lebih agresif, kreatif, inovatif, produktif dan dinamik untuk bergerak seiring mencapai matlamat organisasi ke arah kecemerlangan. 

Begitu juga dengan golongan pentadbir di universiti yang turut memainkan peranan dalam menjayakan aspirasi sesebuah universiti.
 
Golongan pentadbir haruslah mengamalkan budaya cemerlang dengan berfikiran strategik, perlu lebih dinamik dan mampu menerobos sempadan kebiasaan melalui kekuatan minda yang kritis terutamanya dalam tugasan berkaitan pengurusan dan pentadbiran serta berhubung rapat bukan sahaja dengan pihak pengurusan malahan dengan ketua dan staf bawahan. 

Komitmen ini menuntut agar pentadbir yang cemerlang mestilah memiliki ciri-ciri terbaik untuk memastikan agenda institusi tercapai dengan berkesan.
 
Menurut Pengerusi Universiti Malaysia Pahang (UMP), Dato’ Sri Ibrahim Ahmad, pentadbir harus mempersiapkan diri dengan menimba ilma pengetahuan, memahami proses dan governan serta tadbir urus dengan baik. 

“Sebagai pentadbir yang dinamik harus bijak merancang, mengurus dan memantau selain memberi nasihat dalam menyelesaikan sesuatu permasalahan,” katanya. 
 
Beliau turut berkongsi tentang ketokohan seorang cendekiawan Islam, Tan Sri Profesor Dr. Syed Muhammad al-Naquib  Ali al-Attas  yang merupakan  ahli falsafah yang  menguasai ilmu Teologi, Falsafah, Metafizik, Sejarah, dan Kesusasteraan. 

Beliau banyak menyumbang idea terhadap pembangunan negara dan menulis pelbagai buku dalam bidang pemikiran dan peradaban Islam.
 
“Pentadbir yang dinamik boleh memberi nasihat dan mengambil kira faktor risiko dalam membuat keputusan, menjadi penasihat kepada ketua jabatan, dekan dan lain-lain. 

“Mereka perlu cekap terutamanya berkaitan dengan fakta dan info berkaitan universiti,” katanya ketika bertemu dengan peserta Program Khas Pemantapan Bakat Pengurusan dan Profesional (Pentadbiran) anjuran Jabatan Pendaftar UMP baru-baru ini yang berlangsung di Dewan Bankuet Canseleri Tun Abdul Razak, UMP Pekan. 

Program turut dihadiri Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Dr. Ts. Mohd Rosli Hainin, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dato’ Dr. Yuserrie Zainuddin dan Dekan Fakulti Pengurusan Industri (FIM), Dr. Fazeeda Mohamad.  
 
Menurut Dato Sri Ibrahim, peranan pentadbir universiti adalah sama penting dengan peranan pensyarah dan turut menyumbang kepada perubahan dalam masyarakat. 

“Sebagai penggerak kepada sesebuah universiti, pentadbir sewajarnya dianggap sebagai rakan kongsi dari aspek tadbir urus dan govenan. 

“Ini kerana peranan pentadbir sebagai perancang, pelaksana dan pemantau strategik di universiti yang akan menyumbang kepada tercapainya sasaran perkhidmatan yang terbaik.
 
“Selain itu, asas pengurusan penting terutamanya dalam pengurusan pelanggan, sumber manusia, pengurusan risiko, mahir proses perolehan terutamanya dalam bidang perbekalan, aset, bajet dan analisis kewangan perlu diberi perhatian,” ujar beliau. 

Tambah beliau lagi, lain-lain termasuklah integriti yang terbit daripada sistem nilai dan merupakan sifat yang membezakan seseorang pentadbir yang bertanggungjawab. 

“Corak kepimpinan juga mampu menangani perubahan yang akan membawa organisasi kepada tahap yang lebih cemerlang dan pentadbir yang berdedikasi tidak mementingkan diri malah mengutamakan kepentingan organisasi semasa bertugas.
 
“Dalam meningkatkan kompetensi staf pentadbiran, UMP telah memperkenalkan Program Khas Pemantapan Bakat Pengurusan dan Profesional (Pentadbiran) buat pentadbir,” katanya. 
Pada masa ini, seramai 15 orang staf bukan akademik di UMP sedang mengikuti program Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) di bawah Fakulti Pengurusan Industri (FPI).  
Program yang masuk tahun kedua itu bakal meningkatkan kualiti perkhidmatan dan pentadbiran, malah mampu berdaya saing seiring dengan kepesatan teknologi kini.

Disediakan Oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Unit Perhubungan Awam, Pejabat Naib Canselor

 

Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit