Skip to main content

Pentadbir UA Perlu Berwibawa Dalam Pengurusan Termaju

Pekan,  21 Februari- Golongan Pentadbir Universiti Awam (UA) perlu segera mengadaptasi perubahan bersesuaian dengan landskap pentadbiran Universiti Awam masa kini yang telah banyak mengalami perubahan rentetan fenomena Revolusi Industri 4.0. Sesebuah Universiti itu juga perlu mempunyai sumber manusia berpengetahuan dan berkemahiran tinggi agar daya saing dapat diperkasakan.

Pentadbir sebagai tulang belakang pengoperasian sesebuah universiti perlu diberi pendedahan mengenai keperluan melengkapkan keupayaan diri masing-masing dalam menangani tuntutan pengurusan termaju kini. Pada masa ini, terdapat lebih 8000 Pentadbir Universiti Awam dalam kalangan kumpulan Pengurusan dan Pentadbiran pelbagai skim perkhidmatan menabur bakti di universiti masing-masing.

Menurut Ketua Pegawai Operasi merangkap Pendaftar UMP, Abd. Hamid Majid berkata, jika elemen Industri 4.0 dan pengurusan termaju tidak ditangani dengan sebaiknya maka tidak mustahil ianya akan menghasilkan satu tekanan yang akhirnya akan menjejaskan kualiti kerja yang turut mempengaruhi kualiti kehidupan secara tidak langsung.

“Lebih membimbangkan lagi jika permasalahan ini dilihat menyumbang kepada penyusutan daya saing yang akhirnya menjejaskan produktiviti organisasi khususnya dan sektor pendidkan tinggi amnya. Justeru, Persatuan-persatuan khususnya MASTI diharap dapat merangka strategi dalam melaksanakan trasnformasi yang akan dapat memberi kesan dan impak tinggi ke arah pengapliksian pengurusan termaju di dalam organisasi,” katanya.

Beliau hadir menyampaikan ucapan dalam Program Kolokium Pentadbir : Pengurusan Termaju anjuran  Persatuan Pegawai Tadbir & Ikhtisas UMP (PPTI) bersempena Mesyuarat Eksekutif Majlis Persatuan Pentadbir Universiti Awam Malaysia (MASTI) kali ke 27 Bilangan 1 Tahun 2019 di UMP Pekan. Hadir sama Timbalan Presiden (Hubungan Strategik) MASTI, Wan Mohd Wazir Wan Abdul Wahab dan Timbalan Presiden (Pengantarabangsaan) MASTI, Mohd Raizalhilmy Mohd Rais yang juga Presiden  PPTI.

Dalam pada itu, Wan Mohd Wazir  memuji penganjuran program ini yang bertujuan untuk berkongsi pengalaman dan melihat sudut pandang dalam kalangan pentadbir yang berlatar belakang pelbagai bidang kepakaran. Ujar beliau, UMP merupakan destinasi kedua siri jelajah MASTI selepas Universiti Teknologi Malaysia (UTM) untuk membolehkan pihaknya bertemu dengan ahli serta menyebarkan matlamat fokus perjuangan dalam kalangan ahli yang menganggotai MASTI. 

Manakala bagi Mohd Raizalhilmy berkata, topik yang dibincangkan sangat relevan tambahan pula menerusi data raya membolehkan pentadbir dapat menganalisa dan memberikan keputusan dengan cepat dan tepat buat organisasi. Jelasnya, cabaran pentadbir kini adalah untuk menerokai dan menggilap potensi diri agar kompeten dalam memastikan budaya kerja kelas pertama sinonim dengan imej pentadbir. 

Membarisi ahli panel adalah Muhammad Azli Shukur yang merupakan Pegawai Penerbitan Kanan Penerbit UMP dengan tajuk `Pentadbir dalam Era IR 4.0 : Kejutan & Gelombang”; Emma Melati Burhanuddin, Eksekutif Kanan Fakulti Kejuruteraan Awam & Sumber Alam dengan tajuk “Budaya Pengurusan  Termaju Universiti di Amerika Syarikat” dan  Haji Abdullah Fairuzullah Ahmad Tajudin, Eksekutif Kanan Teknologi Maklumat pula mengulas mengenai “Pelaksanaan Data Raya Analitik dalam Pengurusan Termaju”. 

Manakala Zainal Hj. Bahari yang merupakan Pengurus Besar  Jabatan Sosioekonomi dan Projek  Khas UMP Advanced bertindak sebagai moderator dalam kolokium yang dihadiri lebih 60 ahli persatuan dan Eksekutif MASTI pada penganjuran kali ini.  

Disediakan oleh Nor Salwana Mohd Idris dari Bahagian Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri