Skip to main content

Penyelidik Fakulti Komputeran kongsi kepakaran dalam projek transformasi digital perikanan rekreasi

KUANTAN, 12 November 2020 – Seramai empat orang penyelidik Fakulti Komputeran (FK), Universiti Malaysia Pahang (UMP) berkongsi kepakaran dalam projek geran penyelidikan Kementerian Pengajian Tinggi - University for Society (KPT-U4S) yang bakal memberi manfaat buat komuniti nelayan di Merang, Terengganu.

Turut sama dalam projek ini ialah penyelidik daripada Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Menurut Ketua Projek, Dr. Jamaludin Sallim, bersama tiga orang lagi penyelidik iaitu Dr. Rozlina Mohamed, Dr. Yusnita Mohammad Noor dan Dr. Suraya Abu Bakar, mereka telah diberi tanggungjawab untuk mempercepatkan agenda peralihan digitalisasi yang sememangnya penting buat para nelayan untuk menjalankan aktiviti di perairan berkenaan.

“Projek yang bermula sejak bulan Ogos 2020 ini mempunyai beberapa objektif utama iaitu untuk membantu meningkatkan kemahiran keusahawanan, kemahiran insaniah (softskill), sains perikanan dan aplikasi digital dalam kalangan nelayan. 

“Pada masa ini, kami masih mengumpul dan menganalisis data untuk keperluan aplikasi digital bersama para nelayan di samping untuk memupuk kefahaman dan kesedaran mengenai transformasi yang akan dijalankan.  

“Kami berterima kasih kepada KPT terutamanya Bahagian Kerjasama Industri dan Masyarakat (BKIM) yang telah meluluskan geran KPT-U4S berjumlah RM40,000 bagi menjalankan penyelidikan bersama komuniti nelayan setempat,” katanya.  

Ujarnya, antara yang akan dibangunkan adalah pembangunan teknologi internet benda (IoT) dan aplikasi digital inovatif perikanan rekreasi melibatkan masyarakat di kawasan perairan segi tiga yang membabitkan Pulau Redang, Bidong dan Bara, Terengganu.

“Selain itu, inisiatif ini juga merupakan sebahagian usaha KPT bersama UMP dalam membantu peralihan digital perikanan rekreasi. 

“Ia adalah selaras dengan matlamat kementerian bagi membangunkan kepakaran para penyelidik di universiti untuk dimanfaatkan bersama masyarakat dan membuka potensi sosioekonomi yang lebih luas buat para nelayan di negara ini,” katanya.

Disediakan oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit dan Siti Nurfarmy Ibrahim, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC)

Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit