Skip to main content

Pertandingan Chinese Bridge secara dalam talian buat kali pertama

Kuantan, 30 Mei 2020 - Buat pertama kalinya Institut Konfusius Universiti Malaysia Pahang (CI UMP) menganjurkan Pertandingan Chinese Bridge Peringkat UMP secara dalam talian (online) menggunakan aplikasi Zoom pada tahun ini berikutan daripada Pandemik COVID-19 yang melanda banyak negara pada ketika ini. 

Pertandingan ini menyaksikan seramai 24 orang peserta UMP telah menyampaikan pengucapan dalam bahasa Mandarin.  
 
Program dirasmikan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Ts. Dr. Mohd Rosli Hainin. 

Turut hadir Pengarah CI UMP, Yong Ying Mei dan panel juri yang terdiri daripada pensyarah pelawat Ningxia University yang berada di UMP, Dr. Bao Chao dan Dr. Wang Bin, Pengarah CI China, Profesor Dr Guo Fuliang dan guru bahasa Mandarin UMP, Kang Mei Feng.
 
Menurut Profesor Ts. Dr. Mohd Rosli,  penularan virus Covid-19 telah mempengaruhi kehidupan semua orang dan juga mengubah operasi universiti. 

“Pertandingan ucapan bahasa Mandarin dianjurkan di UMP sejak tahun 2011 dan pada tahun ini buat pertamanya kalinya ia dianjurkan secara dalam talian. 
 
“Saya amat bangga apabila semua peserta yang terdiri daripada pelajar Melayu dan India fasih bertutur dalam bahasa Mandarin. 

“Dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini, pelajar UMP dilihat tetap gigih membuat persiapan dan bersungguh-sungguh dalam membuat persediaan pertandingan.
 
“Tahniah buat penganjur terutamanya CI UMP dalam penganjuran pertandingan kali ini,” katanya. 

Beliau juga berharap agar pelajar UMP cemerlang dalam pertandingan di peringkat Malaysia  sebagaimana kejayaan pelajar UMP yang mendapat johan dan mewakili negara di peringkat antarabangsa pada tahun 2013. 
 
Menurut Yong Ying Mei, CI UMP telah merancang pertandingan ini dan perbincangan dalam talian turut diadakan beberapa kali bagi memastikan pertandingan tersebut berjalan dengan lancar. 

“Terima kasih atas sokongan UMP selama ini menyokong pelajar UMP dalam penyertaan pertandingan bahasa peringkat kebangsaan mahupun peringkat antarabangsa.
 
“Pertandingan ini merupakan Pertandingan Bertutur Bahasa Mandarin khas untuk pelajar bukan berbangsa Cina. 

“Walaupun dalam tempoh PKPB semua pelajar duduk di rumah, tetapi mereka masih bergigih dalam pembelajaran bahasa Mandarin dan sentiasa mengikuti latihan dalam aplikasi WhatsApp dengan guru bahasa Mandarin,” ujar beliau. 
 
Johan telah dimenangi oleh Alleyssa Syafinas Mazlan (KA19153), tempat kedua dimenangi oleh Danial Haqueem Lim Mohamad Alif Lim (SB18071) dan  tempat ketiga ialah Wan Asnida Izzaty Che Mohd Nordin (KA17249). 

Manakala pemenang bagi sagu hati adalah Nurul Shabilla Shaherra Muhammad Asri Tan (CD17058) dan Nur Annis Sofea Rahimi (KA18195).
 
Semua pemenang ini akan mewakili UMP dalam Pertandingan Chinese Bridge Peringkat Malaysia anjuran Universiti Malaya (UM) pada 27 Jun 2020.

Pertandingan peringkat Malaysia ini lebih mencabar apabila peserta dikehendaki berucap dalam bahasa Mandarin, menduduki kuiz bahasa Mandarin, mengikuti sesi soal jawab dan persembahan. 

Pertandingan ini merupakan satu platform kepada para pelajar untuk mengetengahkan bakat mereka. 

Guru Bahasa Mandarin UMP akan terus melatih pelajar UMP dalam talian bagi membantu pelajar UMP membuat persediaaan yang terbaik dalam menyertai pertandingan ini peringkat Malaysia.
 
Disediakan Oleh: Yong Ying Mei, Institut Konfisius (Ci)

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Admin UMP News