Skip to main content

Petugas UMP Holdings siapkan 1000 alat pelindung muka buat barisan hadapan

Kuantan, 13 April – Prihatin terhadap keperluan pelindung muka buat petugas kesihatan dan barisan hadapan yang berjuang membanteras penularan wabak penyakit Covid-19 terutamanya di negeri Pahang, UMP Holdings Sdn. Bhd (UMPH) yang juga merupakan anak syarikat Universiti Malaysia Pahang (UMP) turut tidak ketinggalan menghulurkan bantuan dengan menyediakan 1000 alat pelindung muka (face shield) di bangunan pejabatnya.

Menurut Pengurus Projek , Mohd Hairuddin Idris, sebanyak 1000 pelindung muka ini disediakan untuk menyokong inisiatif kerajaan negeri di bawah penyelarasan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang untuk diedarkan kepada kakitangan barisan hadapan (frontliners) di Kementerian  Kesihatan Malaysia (KKM) yang masih memerlukan bekalan di negeri ini.

“Seramai 30 sukarelawan yang terdiri daripada warga UMP Holdings & Kumpulan berganding bahu dalam menyediakan pelindung muka pakai buang ini. Dengan mengunakan konsep ‘production line’ iaitu stesen pertama akan melakukan pemotongan span diikuti pemotongan getah dan tampalan serta pembungkusan di peringkat akhir,” katanya.

Pihaknya juga turut mengambil langkah keselamatan terhadap petugas dengan penjarakkan sosial serta kerap mengunakan cecair pensanitasi tangan (hand- sanitizier).

Tambah beliau lagi, inisiatif ini merupakan salah satu bentuk sumbangan khidmat komuniti pihak syarikat pada ketika ini, iaitu setiap syarikat mahupun individu memainkan peranan penting dalam meringankan beban para petugas barisan hadapan dalam menghadapi penularan wabak Covid-19.

Terdahulu, UMP Holdings juga turut menjalinkan kerjasama bersama Persatuan Alumni & Graduan UMP dalam menyumbangkan air minuman kepada para petugas hadapan. Antara yang telah menerima sumbangan ialah Balai Polis Gambang dan pihak berkuasa yang terlibat dengan operasi sekatan jalan raya di sekitar Gambang. Pemberian air mineral ini dilaksanakan secara minggunan di samping turut membekalkan 50 botol berkapasiti 500 ml cecair pensanitasi tangan (hand sanitizier) dalam memastikan bekalan sentiasa mencukupi dan konsisten berdasarkan keperluan.

Disediakan Siti Nurfarmy Ibrahim daripada Unit Perhubungan Awam Pejabat Naib Canselor 

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri