Skip to main content

PIMPIN anjur Seminar Amazing Al-Quran

Kuantan, 15 April– Pusat Islam dan Pembangunan Insan  (PIMPIN) menganjurkan Seminar Amazing Al-Quran bersempena Hari Nuzul Al-Quran dalam program yang berlangsung di Dewan Tun Fatimah, UMP Gambang sebagai menyemarakkan  Festival Ramadan yang telah bermula pada 26 April 2019 sehingga 2 Jun 2019 nanti.

Pengarah program, Amira Abdullah berkata, program ini lebih mendekatkan peserta dengan Al-Quran sebagai penenang jiwa dan mempelajari ayat-ayat Al-Quran yang menunjukkan cara terbaik untuk membina keluarga bahagia. Seramai 61 penyertaan dalam kalangan staf dan mahasiswa UMP mengambil peluang memanfaatkan program ini. 

“Program yang berlangsung selama empat jam itu mengandungi dua slot iaitu pertamanya bertajuk “Menikmati Keagungan Al-Quran Dalam Jiwa” yang disampaikan oleh penceramah jemputan, Dr. Abdul Latif. Slot kedua pula merupakan ceramah yang bertajuk “Al-Quran Penawar Keluarga Bahagia” yang disampaikan oleh Dr. Mansor,” katanya dalam program yang turut dihadiri Pengarah PIMPIN, Dr. Mahyuddin Ismail.

Dr. Abdul Latif merupakan seorang pensyarah di Fakulti Ilmu Wahyu & Sains Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Beliau memiliki kepakaran dalam bidang psikologi Islam dan barat serta pemikiran Islam.

Dalam ceramahnya, beliau menekankan bahawa Al-Quran berfungsi untuk memberi kesedaran kepada manusia, memberi motivasi dan mengingatkan manusia tentang syurga dan neraka. Selain daripada itu, Al-Quran juga dapat merawat dan menjadi asbab penyembuh untuk penyakit.

Sementara itu, Dr. Mansor Sulaiman yang merupakan pensyarah di Pusat Bahasa Moden dan Sains Kemanusiaan mempunyai kepakaran dalam bidang Sejarah dan Tamadun Islam serta Syariah. Beliau berkongsi mengenai panduan Al-Quran dalam usaha untuk membangunkan keluarga bahagia iaitu beriman dan beramal soleh, akhlak baik, banyak mengingati Allah dan menjaga kesihatan hati akal dan tubuh.

Dalam pada itu sebanyak 14 program disajikan sepanjang Festival Ramadan di kampus Gambang dan Pekan yang turut mendapat kerjasama daripada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) dan Unit MyGift Pejabat Naib Canselor (PNC).   

Disediakan oleh Nor Sa’adatul  Afzan Jusoh dari Bahagian Komunikasi Koorporat

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri