Skip to main content

PM Dr. Mohd. Ridzuan Darun dilantik Pendaftar Baharu UMP

Pekan, 15 Mac- Prof. Madya Dr. Mohd Ridzuan Darun dilantik sebagai Pendaftar yang juga Ketua Pegawai Operasi (COO) Universiti Malaysia Pahang (UMP) yang baharu berkuatkuasa mulai 15 Mac ini untuk tempoh dua tahun.  

Prof. Madya Dr. Mohd Ridzuan, 45 yang kini juga merupakan Dekan Fakulti Pengurusan Industri (FIM) berpengalaman luas dalam bidang pengurusan memiliki ijazah kedoktoran dalam bidang perakaunan dari Lincoln University New Zealand (2011), Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dari Universiti Utara Malaysia (2006) dan Ijazah Sarjana Muda Sains Kewangan dari Southern Illinois University USA (1999).

Beliau pernah dilantik sebagai Ketua Program MBA di FIM selama dua tahun sebelum dilantik menjadi Dekan FIM sejak tahun 2014.

Menurutnya, pelantikan ini merupakan satu tugas besar yang perlu digalas olehnya dan bertekad untuk bersama-sama berganding bahu dalam memacu ke arah kecemerlangan universiti. Kehadiran beliau memulakan tugas hari ini disambut staf Jabatan Pendaftar di lobi Canseleri Tun Abdul Razak di Pekan.

Dalam pada itu, universiti juga melantik Dzull Zabarrod Ahmad, 57, sebagai Pemangku Ketua Pustakawan UMP berkuatkuasa 2 Mac bagi menggantikan Haji Ruslan Che Pee yang bersara dalam perkhidmatan.  Beliau yang memiliki Ijazah Sarjana Muda (Fizik) dari Universiti Malaya dan Diploma Lanjutan Sains Perpustakaan dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) serta Sarjana Pengurusan Informasi (UITM) sebelum ini pernah berkhidmat di Perpustakaan UiTM.

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri