Skip to main content

Produk Umpan Anai-anai Pisoptera Tembusi Pasaran Antarabangsa

Assam (India), 22 September – UMP Ecopest yang merupakan anak syarikat Universiti Malaysia Pahang (UMP) berjaya tembusi pasaran antarabangsa bagi produk Pisoptera iaitu umpan anai-anai mesra alam yang diperbuat daripada tandan kelapa sawit kosong (EFB) bagi kerja pembasmian anai-anai di ladang pokok gaharu milik Syarikat Ajmal Perfumes di Assam, India.

Ajmal Perfumes merupakan sebuah syarikat pengeluar minyak gaharu terbesar di India dan yang mempunyai kilang di Dubai. Hasil kerjasama ini, pihak Ajmal Perfumes seluas satu ekar kawasan ladang pokok gaharu ini dijadikan ujian untuk menguji keberkesanan produk Pisoptera ini.

Menurut Pengarah Urusan UMP Ecopest, Syukor Abd.Razak, berdasarkan pemerhatian dan lawatan tapak yang dijalankan pihak UMP Ecopest mendapati 99 peratus kawasan ujian tersebut diserang anai-anai. Serangan anai-anai ini telah memberi implikasi yang buruk terhadap tumbesaran pokok gaharu dan menyebabkan mutu pengeluaran produk berasaskan pokok gaharu semakin merudum. 

“Produk Pisoptera ini dihasilkan daripada tandan kosong buah sawit yang dibasuh dan dikeringkan sebelum dilarutkan bersama Archive 18.3 yang mengandungi bahan aktif Imidachloprid. Pihak UMP Ecopest memberikan jaminan selama dua tahun bagi produk Pisoptera serta dalam tempoh dua tahun jaminan tersebut, rawatan susulan akan dijalankan setiap enam bulan,” katanya yang juga ketua penyelidik produk ini. Turut sama menyertai delegasi Pengurus Besar UMP Ecopest, Fikri Abdul Gani telah berlepas ke Assam, India bagi mengadakan perbincangan dengan pihak Ajmal Perfumes.

Selain itu, rawatan susulan pertama dijangka akan dijalankan pada Februari 2019. Sekiranya pihak Ajmal Perfumes berpuas hati dengan penggunaan Pisoptera, mereka akan memberikan kawasan pokok gaharu yang diserang anai-anai yang lebih luas kepada UMP Ecopest untuk dirawat menggunakan produk Pisoptera.

Beliau mengharapkan projek ini berjaya membantu menyelesaikan masalah berkaitan anak-anak dan lebih banyak produk Pisoptera mendapat pasaran yang lebih luas di persada antarabangsa.    

Disediakan Fikri Abdul Gani dari UMP Ecopest.

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Norhidayah binti Mohamad