Skip to main content
Prof. Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusoff dilantik TNCAA UMP

Prof. Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusoff dilantik TNCAA UMP

Pekan, 5 Disember- Prof. Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusoff dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Malaysia Pahang (UMP) untuk tempoh tiga tahun berkuat kuasa 1 Disember 2018.

Beliau yang berasal dari Pasir Putih, Kelantan ini memiliki kelulusan Sarjana Muda Sains dalam Kejuruteraan Mekanikal dari Universiti Michigan Ann Arbor, USA (1990), Sarjana Sains dalam Kejuruteraan Mekanikal di Rensselaer Polytechnic Institute, USA (1992) dan Doktor Falsafah (Teknologi Pembuatan Termaju) di Universiti Sains Malaysia (2004).

Mula berkhidmat sebagai pensyarah UMP di Fakulti Kejuruteraan Mekanikal sejak tahun 2004, Prof. Ir. Dr. Wan Azhar, 51  pernah memegang jawatan sebagai Dekan di Fakulti Kejuruteraan Pembuatan selama lima tahun  bermula dari tahun 2012. Beliau juga pernah dilantik sebagai Pengarah Pusat  Inovasi & Daya Saing Akademik UMP dari tahun 2011 hingga 2013.

Naib Canselor UMP, Prof. Dato’ Sri Dr. Daing Nasir Ibrahim berkata, pihak universiti amat berbesar hati dan mengucapkan ribuan terima kasih kepada Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik atas pelantikan ini.

"Semoga dengan pelantikan ini, UMP terus cemerlang untuk menjadi sebuah universiti teknologi terunggul dalam menerajui bidang kejuruteraan dan teknologi bukan sahaja di Malaysia malahan di persada antarabangsa," katanya. 

Dalam pada itu, pihaknya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada mantan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dato’ Dr. Rosli Mohd Yunus yang turut menyumbang dalam memartabatkan UMP menjadi antara universiti terbaik Asia. 

Berada pada landasan terbaik, UMP sentiasa memastikan pembentukan kurikulum akademik yang dihasilkan lebih inovatif dengan disokong oleh staf yang kompeten dan profesional serta menjadikan infrastruktur akademik lebih efisyen berorientasikan keperluan industri dan masyarakat.

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim