Skip to main content

Projek Kilauan Mutiara STARS BPPA-UMP Dedah Pengalaman Kampus

Pekan, 20 April – Hasil kolaborasi tiga pihak antara Universiti Malaysia Pahang (UMP) bersama pihak sekolah dan industri menjayakan Projek Kilauan Mutiara STARS memberi peluang pelajar sekolah merasai pengalaman menjadi 'mahasiswa' universiti. Program dikendalikan Kelab InSmartive UMP dan BP Petronas Acetyls Sdn Bhd (BPPA) dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni (JHEPA) baru-baru ini.

Program selama tiga hari di kampus UMP Pekan ini dikendalikan 30 fasilitator mahasiswa Kelab InSmartive melibatkan seramai 51 orang pelajar Tingkatan 1 hingga 5 Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Engku Bijaya Sura (SMKDEBS), Dungun, Terengganu. 

Ianya juga menyaksikan penglibatan aktif para peserta dalam pelbagai modul, termasuklah aktiviti kembara kampus kedengan berkunjung melawat perpustakaan, Global Classroom dan makmal Fakulti Kejuruteraan Elektrik & Elektronik (FKEE) serta Fakulti Kejuruteraan Mekanikal & Pembuatan (FKMP).

“Pelaksanaan semua modul dan aktiviti sepanjang projek ini mendukung tiga objektif utama iaitu pendedahan pengalaman kampus, pemetaan hala tuju akademik, kerjaya dan kehidupan serta pengukuhan semangat kerja berpasukan dalam kalangan peserta dalam suasana 'perkampungan menara gading' yang interaktif," ujar Pengurus Projek yang juga mahasiswa Tahun Satu di Fakulti Teknologi Kejuruteraan, Muhamad Aiman Suhaizi,

Antara yang menarik perhatian peserta ialah slot 'Hi Professor!' yang menampilkan Timbalan Dekan (Akademik & Hal Ehwal Pelajar) FKEE, Prof. Madya Dr. Hamdan Daniyal yang turut berkongsi perjalanan akademik dan kerjaya beliau serta kepentingan penguasaan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam kalangan pelajar sekolah kini.

Menurut Pengurus Sumber Manusia & Pentadbiran BPPA, Haji Shamsul Raji Jaafar, kesemua pelajar berkenaan berasal daripada keluarga B40 yang terpilih sebagai penerima manfaat program STARS, iaitu inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) BPPA di daerah Dungun. Beliau turut menyempurnakan majlis perasmian penutup projek yang berlangsung di Dewan Bankuet Canseleri, UMP Pekan.

Bagi Muhammad Haikal Danial Mahadi, 13 dan Nurfaizah Insyirah Mohamad Faizol, 13 yang masing-masing menuntut di Tingkatan Satu telah diumumkan sebagai peserta terbaik semasa majlis perasmian penutup program. Hadir sama Penolong Kanan Pentadbiran SMKDEBS, Che Mohd Yusri Che Hashim, Ketua Penyelidik, Pejabat Naib Canselor merangkap Penasihat Kelab InSmartive, Wan Nazrul Helmy Wan Mohd Zain dan Presiden Kelab InSmartive, Muhammad Aizat Azed.

Untuk rekod, BPPA, SMKDEBS dan Kelab InSmartive juga telah merangka program susulan iaitu Bengkel Teknik Menjawab Soalan Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)   pada 3 dan 4 Mei 2019 akan datang di UMP Pekan dengan kerjasama Majlis Guru Kaunseling Daerah Pekan.

 

Disediakan oleh Mohd Mukhris Awang dan Nur Sa’adatul Afzan Jusoh daripada Bahagian Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri