Skip to main content

Pusat Kokurikulum UMP bakal dijenamakan dengan nama baharu

PEKAN, 22 Februari 2021 - Bangunan Pusat Kokurikulum Universiti Malaysia Pahang (UMP) yang terletak di UMP Pekan telah siap sepenuhnya dan bakal dijenamakan dengan nama baharu selari dengan peranan pusat tersebut pada masa akan datang.

Bakal dijenamakan sebagai Akademi Pengurusan Adab UMP atau Adab@UMP, ia akan beroperasi dengan kaedah baharu.

Pusat ini akan menawarkan kursus-kursus kokurikulum secara modular.

Para pelajar dinasihatkan agar mengambil peluang untuk mendaftar dan belajar kursus-kursus ini secara terbuka dan fleksibel sepanjang pengajian mereka di sini.

Menurut Naib Canselor UMP, Profesor Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusoff, kursus yang akan ditawarkan pula adalah lebih moden dan sesuai untuk membangunkan adab dan kemahiran insaniah para graduan.

Turut sama hadir ialah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dato’ Dr. Yuserrie Zainuddin dan Pengarah Pusat Kokurikulum UMP, Ts. Dr. Siti Rabiatul Aisha Idris.

Dalam pada itu, Pusat Selaman yang terdapat di sini bakal menjadi tarikan baharu buat warga kampus.

UMP merupakan satu-satunya universiti awam (UA) yang memiliki Pusat Selaman di dalam kampus yang bakal menawarkan kursus-kursus pensijilan dan program-program latihan profesional kepakaran menyelam kepada warga kampus dan juga komuniti.

Ruang-ruang di sini juga akan menempatkan markas pentadbiran pasukan latihan pegawai simpanan tiga cabang perkhidmatan tentera iaitu pasukan Pegawai Kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) UMP daripada perkhidmatan tentera darat, laut dan udara.

Kumpulan ini dijangka mula berpindah ke sini sebagai pusat pentadbiran utama pada sekitar bulan Mei hadapan apabila pemasangan perabot dan kelengkapan pejabat siap sepenuhnya.

Dalam pada itu, Profesor Ir. Dr. Wan Azhar turut meninjau dengan lebih dekat setiap ruang dan kawasan di sini.

Beliau mengharapkan akademi ini akan menjadi pusat kecemerlangan latihan pembangunan insan terutama untuk para pelajar, warga kampus dan komuniti setempat.

Disediakan Oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor 

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit