Skip to main content
Rakyat Malaysia Perlu Lebih Hargai Negara Sendiri ~ Mark O'dea

Rakyat Malaysia Perlu Lebih Hargai Negara Sendiri ~ Mark O'dea

Kuantan, 24 November - Pengalaman mengembara dan berkerjaya di Malaysia sejak lima tahun lepas telah menyebabkan beliau jatuh cinta dengan negara ini. Malah, jejaka Inggeris kelahiran Gravesend, Kent ini mengakui hairan dengan sikap segelintir rakyat Malaysia yang kurang menghargai negara sendiri serta tidak dapat menguasai bahasa kebangsaan. Demikian cetusan rasa yang dikongsikan seorang pengacara televisyen, pelakon dan selebriti Youtube, iaitu Mark O'dea yang hadir dalam program Infinite Class: Express To Impress anjuran Kelab InSmartive dan Perwakilan Kolej Kediaman 4 (PEKA4) di Universiti Malaysia Pahang (UMP)  Kampus Gambang.

Beliau turut berkongsi aktiviti mingguannya dengan menonton satu filem bahasa Melayu pada setiap minggu demi meningkatkan penguasaannya dalam bahasa tersebut. "Malulah saya kalau tidak pandai cakap Melayu dengan baik sedangkan saya bekerja dan tinggal di Malaysia,” seloroh beliau dengan diikuti tepukan gemuruh para hadirin.

Penampilan sulung beliau di UMP ini telah menerima sambutan hangat daripada lebih 300 mahasiswa berbilang bangsa. Selain perkongsian kerjayanya dalam dunia seni dan penyiaran, Mark O'dea turut gembira melayani para hadirin melalui interaksi soal jawab selama lebih satu jam serta tampil mengejutkan mereka dengan persembahan istimewa lagu 'Sinaran' yang pernah dipopularkan oleh Dato' Sheila Majid satu ketika dahulu.

Beliau yang dikenali ramai melalui watak 'Mr James Blond' dalam siri 'Oh My English!' di TViQ memulakan kerjayanya di Malaysia pada tahun 2013 seawal usia 22 tahun kini aktif dalam bidang pengacaraan dan pengulasan sukan di sebuah syarikat televisyen satelit tempatan.

Berpendidikan dalam bidang seni persembahan dari sebuah akademi teater terkemuka di United Kingdom, beliau turut menyarankan mahasiswa UMP supaya berani meneroka dunia dan mengembara jauh bagi mencari peluang kerjaya di samping mematangkan diri, menambah pengalaman dan meningkatkan pengetahuan.

Turut hadir dalam sesi dialog adalah Ketua Penyelidik Pejabat Naib Canselor, Wan Nazrul Helmy Wan Mohd Zain, Pengetua Kolej Kediaman 4, Nasrul Salim Pakheri, Presiden InSmartive, Muhammad Aizat Azed dan Presiden PEKA 4, Muhammad Haziq Mohamad Nazri.

Dalam pada itu, Mark O'dea turut dijemput menjayakan program Interactive Group di bawah inisiatif Bridge of Love @KP House Project di Kampung Kuala Pahang, Pekan kelolaan Kelab InSmartive dan UMP Advanced Education. Program interaktif berteraskan pendidikan Bahasa Inggeris dan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) ini diadakan secara mingguan untuk anak-anak tempatan bersama sukarelawan mahasiswa UMP dengan mensasarkan tranformasi lanskap pendidikan di Kuala Pahang.

 

Berita disediakan oleh Mohd Mukhris Awang, Pembantu Penyelidik di Pejabat Naib Canselor