Skip to main content

Ramadan dalam PKP penuh hikmah

Kuantan, 28 April- Ramadan adalah bulan yang sangat indah dan cukup istimewa di hati orang umat Islam. Inilah bulan pendidikan dan bulan peningkatan iman, bulan mujahadah diri dengan modul latihan yang terbaik bagi melahirkan generasi yang yang mempunyai jati diri yang tinggi bagi berdepan dengan cabaran dalam kehidupan.

Namun bulan Ramadan yang disambut tahun ini agak berbeza berbanding tahun lalu yang dimeriahkan dengan amal ibadat secara berjemaah, pengimarahan masjid dengan majlis-majlis ilmu. Ia berubah serta-merta akibat penularan wabak COVID-19 yang melanda di seluruh dunia.

Bagi mahasiswa Universiti Malaysia Pahang (UMP), Muhammad Nazhif Mohd Azan Ramadan kali ini memberi kesan yang positif buatnya dan keluarga apabila berpeluang menjalani ibadah berpuasa bersama keluarganya di Wakaf Bharu Kelantan.

“Suasananya berbeza kerana sudah menjadi kebiasaan bagi keluarganya menyambut hari pertama Ramadan di kampung bersama-sama saudara mara terdekat, namun pada kali ini kami hanya mampu menyambutnya dengan keluarga kecil kami sahaja di rumah kerana perlu mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikeluarkan oleh pihak Kerajaan demi keselamatan negara,” katanya.  

Menurut Muhammad Nazhif, pertama kali di Kelantan, masjid-masjid menjadi sunyi pada bulan Ramadan akan tetapi amalan yang kebiasaannya dilakukan di masjid masih diteruskan, cumanya ia diadakan di rumah masing-masing bersama sekeluarga berterawih di rumah bersama ayah, ibu dan adik- beradik. Begitu juga tiada Bazar Ramadan seperti kelaziman yang menghidangkan pelbagai juadah dan menu istimewa. Walaupun sambutan agak kurang meriah namun ia membawa seribu makna apabila dapat meluangkan lebih banyak masa bersama-sama keluarga.

Ujarnya, kelainan ini merupakan hikmah yang Allah turunkan di antaranya diberikan peluang untuk lebih fokus terhadap amalan sunat dan memperbaiki diri menjadi lebih baik. Muhammad Nazhif bersyukur kerana dapat berpuasa bersama keluarga di rumah sendiri memandangkan lebih ramai lagi mahasiswa masih terkandas di universiti.

Begitu juga dengan Yasmin Izureen Ibrahim, beliau berkongsi kenangan seronok menjalani ibadah puasa bersama rakan-rakan di kampus dan berpeluang untuk membeli juadah berbuka di bazar Ramadan UMP yang dibuka di hadapan Kolej Kediaman 3. 

Beliau yang berada di kampung bersyukur kerana diberikan kesempatan untuk bersama-sama menyambut dan meraikan kedatangan bulan Ramadan pada kali ini bersama keluarga tercinta. 

Tambahnya, walaupun Ramadan pada tahun ini disambut ketika negara masih ‘berperang’ dengan wabak COVID-19, kita perlu memandang dari sudut positif dan mengadaptasi norma baharu ketika di dalam bulan Ramadan tahun ini. Sebagai contoh, jika sebelum ini solat terawih diadakan di masjid dan surau, pada tahun ini kita masih boleh menunaikan solat terawih di rumah. Selain itu, disebabkan oleh ketiadaan bazar Ramadhan pada tahun ini, kita boleh memasak di rumah bersama keluarga yang pastinya dapat mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan. Majlis-majlis ilmu juga masih dapat diadakan menggunakan platform media sosial sebagai contoh siaran langsung dalam aplikasi media sosial seperti ‘Facebook’ dan ‘Instagram’.

Manakala bagi pelajar Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Proses, Muhammad Haziq Mohamad Nazri yang tinggal di kampus UMP keadaan ketika PKP turut memberikannya pengalaman baharu berbanding sebelum ini. Saban tahun pelajar tidak melepaskan mengekalkan tradisinya di bulan Ramadan dengan bergotong-royong menyediakan juadah berbuka puasa dan berbuka puasa beramai-ramai dengan talam di masjid UMP di Gambang dan Pekan.

Namun, beliau tetap bersyukur kerana dikurniakan kesihatan yang baik dan lebuh menggembirakan mendapat perkhabaran ahli keluarganya juga dalam keadaan sihat. Ramadan kali ini juga sungguh istimewa kerana beliau apabila dapat mempelajari ilmu baharu, menjadi imam solat terawikh dan mencari hobi baharu.  

Sebagai mematuhi peraturan kesihatan dan keselamatan terutamanya dalam menjaga jarak sosial akibat penularan wabak COVID-19, tiada sebarang aktiviti dijalankan di masjid. Pihak Pusat Islam dan Pembangunan Insan (PIMPIN) menganjurkan program secara atas talian melalui penganjuran Festival Ramadan yang menampilkan program Ramadan Challenge, Da’I Interaktif Challenge, Qiam On9 Challenge,  Jom Tanya Pakar, Kuliah Dhuha, Khatam Al- Quran, Nuzul Quran dan Siswi Circle bersesuaian dengan pelaksanaan PKP di negara kita.  

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri