Skip to main content

Rebut peluang sambung belajar dalam program `Jom Masuk IPT’ Zon Pahang

Kuantan, 17 Februari- Penganjuran ‘Jom Masuk IPT’ anjuran Jabatan Pendidikan Tinggi Kementerian Pendidikan Malaysia yang menyaksikan Universiti Malaysia Pahang (UMP) sebagai tuan rumah bakal memberi peluang para pelajar sekolah menengah, lepasan diploma dan setaraf, ibu bapa, guru dan komuniti setempat merebut peluang menyambung pengajian tinggi di pelbagai institusi pendidikan tinggi negara.

Terdapat 100 reruai dalam kalangan pempamer daripada Universiti Awam (UA) dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS), Politeknik, Kolej Komuniti, Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA) dan Institusi lain akan menyediakan maklumat kepada calon-calon pelajar mengenai kemasukan ke institusi pendidikan tinggi (IPT) seluruh negara bagi sesi kemasukan 2020, maklumat penawaran program akademik yang ditawarkan, semakan kelayakan dan penasihatan akademik.

Dalam program ini pelajar dan ibu bapa berpeluang bertemu dengan wakil-wakil dari universiti dan kolej semasa pameran untuk mendapatkan maklumat melanjutkan pengajian, pembiayaan pendidikan yang sedia ada, dasar dan prosedur permohonan kemasukan melalui aplikasi dalam talian dan syarat-syarat kelayakan yang diperlukan.

Bagi Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Ts. Dr Mohd. Rosli Hainin, program ini juga merupakan pusat sehenti bagi menyebarluaskan maklumat mengenai peluang pendidikan tinggi dalam negara termasuklah penawaran pengajian pra siswazah, pasca siswazah, pengajian sepanjang hayat dan program atas talian (MOOC).

“Sebagai salah sebuah universiti dalam Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (RUTM), program kali ini turut memberi peluang ibu bapa dan pelajar mengetahui tentang pengajian program teknologi kejuruteraan yang ditawarkan UMP serta bidang berkaitan program pendidikan teknikal dan Vokasional (TVET) yang mampu menyediakan peluang pekerjaan yang lebih tinggi dalam pasaran menjelang era Revolusi Perindustrian Keempat (IR4.0),” katanya.

Turut diadakan pameran dan demonstrasi Sains dan Teknologi termasuklah Lego Mindstorm Robot, Augmented Reality (AI) Educational Book, Social Robot (Facial Emotion Recognition) dan Kit STEM Bot.  Lain-lain program adalah keusahawanan dan kebudayaan melibatkan mahasiswa UMP.

Pelancaran penganjuran ‘Jom Masuk IPT’ Zon 2 (Pahang) pada 22 dan 23 Februari ini bakal disempurnakan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hasanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Kompleks Sukan UMP Gambang.

Penganjuran Jom Masuk IPT 2020 telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, YB Puan Teo Nie Ching di di Persada Johor International Convention Centre,  Johor pada 15 dan 16 Februari 2020 lalu. Lokasi lain yang telah dijadualkan termasuklah  di Taman Tasik Darulman, Jitra (29 Feb dan 1 Mac), Sabah International Convention Centre (7 dan 8 Mac), Amanjaya Convention Center, Ipoh (14 dan 15 Mac), Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri Terengganu (14 dan 15 Mac), Borneo Convention Centre (21 dan 22 Mac) dan MAEPS, Serdang (28 dan 29 Mac 2020).

 

Reports by:
Norhidayah binti Mohamad