Skip to main content

Sendirian mendaftar, mahasiswa baharu tidak sangka terima bantuan MyGift

Kuantan, 2 September- Tatkala pelajar baharu yang lain hadir mendaftar masuk universiti bersama keluarga masing-masing, lain pula kisahnya yang berlaku kepada seorang pelajar baharu, Siti Hanisah Syed Hassan, 27 yang menaiki bas bersendirian dari Gerik, Perak menuju ke Universiti Malaysia Pahang (UMP)  bagi menghadiri sesi pendaftaran pelajar baru- baru ini. 

Dengan berbekalkan wang tunai RM300 di tangan, Hanisah nekad mengambil keputusan untuk datang sendirian tanpa ditemani sesiapa untuk mendaftar masuk UMP bagi mengikuti jurusan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Elektronik.

Anak pasangan Halimah Othman dan Syed Hassan Azhari Syed Mohd Hasim ini sebolehnya tidak mahu menyusahkan kedua ibu bapanya  yang bekerja sebagai tukang cuci dan penoreh getah tambahan pula keadaan kesihatan kedua ibubapanya yang kurang sihat kerana menghidap penyakit darah tinggi.

Sebagai anak sulung daripada tujuah beradik, beliau lebih rela menaiki bas daripada menyusahkan kedua ibu bapanya  untuk menghantar memandangkan perbelanjaan yang agak besar.

“Beberapa hari sebelum menjelang hari pendaftaran, saya  ada menghubungi pihak UMP untuk memohon penangguhan bayaran yuran sehingga menerima pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kerana pada masa itu saya hanya mempunyai RM 300 sahaja di dalam simpanan sewaktu bekerja sebagai kerani dan menjahit,” katanya yang merupakan bekas pelajar Kolej Matrikulasi Perak.

Sepanjang perjalanan beliau hanya memikirkan bagaimana untuk melunaskan yuran pengajian. Panggilan telefon yang diterimanya ketika di dalam bas memecahkan kebuntuan. Seorang pegawai UMP menghubunginya dan memaklumkan beliau merupakan salah seorang penerima insentif Pendidikan UMP yang menerima RM1000 bagi membiayai yuran pendaftaran awal sewaktu mendaftar masuk universiti.

Beliau bersyukur di atas rezeki yang tidak dijangka ini dan lebih menggembirakannya pihak UMP turut menyediakan pengangkutan daripada  Terminal Bas Darul Makmur ke universiti selain membenarkannya menginap di kolej kediaman sehari lebih awal dari tarikh pendaftaran.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih tidak terhingga kepada UMP di atas segala bantuan yang diberikan. Saya tidak menyangka, pihak UMP terlalu mengambil berat tentang pelajarnya dengan pelbagai bantuan yang dihulurkan,” ujarnya yang turut menghubungi keluarga menyampaikan perkhabaran gembira ini. 

Tambah Hanisah, baginya semua orang akan mempunyai impian untuk datang bersama keluarga dan melihat tempat anaknya belajar, namun demi adik-adik lain yang masih bersekolah beliau sanggup berkorban apa sahaja demi keluarga.

Walaupun  sedih apabila  lihat rakan-rakan dapat bersalaman dan memeluk ibu bapa sebelum pulang, tetapi beliau positifkan diri dan nekad akan belajar bersunguh-sungguh sehingga berjaya menggenggam ijazah. Impiannya, jika diizinkan Allah ingin membawa keluarganya bersama-sama sewaktu konvokesyen nanti.  

Hanisah merupakan salah seorang daripada 69 pelajar baharu yang menerima inisiatif bantuan pendidikan MyGift UMP bersempena hari pendaftaran pelajar baharu sesi 2019/2020 baru-baru ini. 

UMP mengalu-alukan sumbangan daripada semua pihak termasuk warga UMP, pelajar, alumni dan individu serta badan-badan korporat sama ada di dalam mahu pun luar negara dalam menyokong budaya menderma demi memakmurkan ilmu pendidikan di universiti ini. 

Orang ramai boleh turut sama menyumbang melalui perbankan internet dengan melayari portal MyGift di laman web universiti www.ump.edu.my untuk mendapat maklumat lanjut mengenai program ini.

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri