Skip to main content
Sukarelawan MyGift edar nasi lemak secara percuma buat mahasiswa bersarapan

Sukarelawan MyGift edar nasi lemak secara percuma buat mahasiswa bersarapan

Pekan, 1 Oktober – Sebanyak  400 bungkus nasi lemak diedar secara percuma yang   dijalankan serentak di kedua-dua kampus bagi meringankan beban mahasiswa Universiti Malaysia Pahang (UMP) untuk mendapatkan sarapan pagi secara percuma sebelum memulakan sesi pengajian di awal pagi.

Seawal jam 8.00 pagi, sukarelawan MyGift telah mula mengedarkan nasi lemak secara percuma kepada mahasiswa yang bertumpu di hentian bas dan di Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif di Pekan manakala di Gambang ianya diedarkan di sekitar Blok W.

Pegawai MyGift UMP, Mohd Jamil Mohd Jaafar berkata, program yang dinamakan MyNasi Lemak ini merupakan salah satu inisiatif MyGift untuk menggalakkan mahasiswa bersarapan sebelum memulakan pengajian.

“Ianya akan dilaksanakan secara berterusan bermula Oktober ini sehingga Disember tahun ini. Mahasiswa menyambut baik inisiatif ini yang dijalankan sebagai usaha membantu mahasiswa mendapatkan makanan,” ujarnya.

Dalam pada itu, UMP memperkenalkan program MyGift sebagai satu usaha mengumpul sumbangan daripada mana-mana pihak bagi menyalurkan sumbangan endowmen bagi tujuan tajaan pelajaran, penyediaan kemudahan prasarana kepada pelajar mahupun membudayakan semangat membantu golongan yang memerlukan.

Program MyGift ini juga diperkenalkan sebagai kemudahan kepada warga kampus dan alumni serta pihak luar terutamanya daripada industri mahupun syarikat untuk sama-sama menyumbang kepada tabung endowmen universiti.

UMP mengalu-alukan sumbangan daripada semua pihak termasuk warga UMP, pelajar, alumni dan individu serta badan-badan korporat sama ada di dalam mahu pun luar negara dalam menyokong pembudayaan menderma demi memakmurkan ilmu pendidikan di universiti ini. Orang ramai boleh turut sama menyumbang melalui perbankan internet dengan melayari portal MyGift di laman web universiti, mygift.ump.edu.my untuk mendapat maklumat lanjut mengenai program ini.

Disediakan oleh Siti Nurfarmy Ibrahim dari Bahagian Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri