Skip to main content

Sumbangan Tabung MyGift UMP Semarak Ramadan

Sepanjang bulan Ramadan ini Pusat Islam dan Pembangunan Insan (PIMPIN) bakal menganjurkan pelbagai aktiviti bagi mengimarahkan bulan yang mulia ini dengan penganjuran Festival Ramadan bermula 15 Mei hingga 13 Jun depan dengan pengisian Solat Tarawikh, Tadarrus dan Iftar Jamaie. Aktiviti lain termasuklah program Memasak Bubur Lambuk, Anda Tanya Ustaz Jawab “Ramadan datang bersediakan kita”, Singgah Mesra “Ibrah Sinar Mualaf”, Kuliah Dhuha : Mengejar Lailatul Qadar, Seminar Nuzul Al- Quran dan banyak lagi.

Berlangsung hari ini serahan sumbangan Tabung MyGift UMP sebanyak RM129 ribu kepada pengurusan masjid Universiti Malaysia Pahang (UMP)  bagi mengimarahkan Fsetival Ramadan tahun ini. Hadir menyampaikan sumbangan, Naib Canselor UMP, Prof. Dato. Sri Ts Dr. Daing Nasir Ibrahim yang menyerahkan replika cek kepada Pengarah PIMPIN, Dr. Mahyudin Ismail bertempat di Canseleri Tun Abdul Razak, UMP Pekan.

Menurut Prof. Dato. Sri Ts Dr. Daing berkata, sumbangan ini merupakan hasil pengumpulan sumbangan dana, tajaan orang perseorangan, badan korporat dan orang ramai menerusi inisitif Endowmen MyGift UMP yang dilancarkan universiti. Ini termasuklah Tabung Aktiviti Ramadan UMP bagi pengurusan penyediaan juadah  berbuka  puasa dan sahur sepanjang bulan Ramadan ini.

“Sumbangan ini juga dapat membantu pengurusan masjid dalam mengimarahkan bulan keberkatan dengan pelbagai aktiviti bermanfaat kepada warga UMP terutama pelajar universiti. Amalan berbuka puasa beramai-ramai di masjid sejak beberapa tahun lalu akan terus dilaksanakan bahkan sentiasa mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pelajar dan staf UMP,” katanya.

Sementara itu, Dr. Mahyudin berkata, PIMPIN masih mengekalkan konsep yang sama iaitu memasak mengikut jadual bagi penyediaan  juadah berbuka puasa secara bergotong-royong mengikut jabatan atau fakulti. Selain itu, pelajar juga turut membantu dalam aktiviti penyediaan makanan tersebut.

Antara menu yang disediakan seperti nasi putih, gulai kawah, sayur  campur, Ayam Masak Merah, Bubur Lambuk, Ayam Masak Kurma dan sebagainya mengikut jadual yang telah ditetapkan.

Tambahnya lagi, bagi menu berbuka puasa akan disediakan kuantiti sebanyak  1400 pelajar manakala untuk juadah sahur disediakan di antara 200 hingga 300 orang pelajar di UMP Gambang dan Pekan. 

Beliau mengharapkan warga universiti dapat mengambil peluang ini untuk memperoleh manfaat menerusi program yang dijalankan di samping mendapat keberkatan di bulan yang mulia ini. Orang ramai yang berhasrat menyumbang untuk Tabung MyGift UMP boleh mendapatkan maklumat lanjut dengan melayari laman sesawang mygift.ump.edu.my.

Disediakan Nor Salwana Mohd Idris dari Bahagian Komunikasi Korporat PNC

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Nur Laila binti Afandi