Skip to main content
Tadbir Urus dan Integriti dalam Era Revolusi Perindustrian Digital

Tadbir Urus dan Integriti dalam Era Revolusi Perindustrian Digital

Kuantan, 20 Ogos- Dalam usaha meningkatkan pengetahuan tadbir urus dan integriti yang lebih berkesan dalam era Revolusi Perindustrian 4.0, FIM Governance & Integrity Centre (FGIC) yang berpusat di Fakulti Pengurusan Industri (FIM) Universiti Malaysia Pahang (UMP) dengan kerjasama Yayasan Pahang (YP) menganjurkan persidangan FGIC 2019 bertemakan  “Tadbir Urus dan Integriti dalam Era Revolusi Perindustrian Digital” yang mendapat kerjasama daripada Institut Integriti Malaysia (IIM) bertempat di Dewan Besar, Kompleks Yayasan Pahang, Tanjung Lumpur, Kuantan selama dua hari berakhir hari ini.

Persidangan Tadbir Urus dan Integriti kedua ini bertujuan untuk membincangkan peranan penting tadbir urus dan integriti dalam era digital  serta membincangkan isu tadbir urus dan integriti di era digital. Persidangan ini turut berjaya mengumpulkan  pihak industri, agensi kerajaan dan ahli akademik dengan 82 pembentangan kertas kerja melibatkan penyertaan dalam dan luar negara termasuklah United Kingdom, Indonesia, Jerman, Oman, Pakistan, Korea, Filipina, Vietnam, Singapura, Hungary, Emiriah Arab Bersatu dan Malaysia.

Hadir merasmikan persidangan Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Asas, Sistem Penyampaian Awam dan Inovasi Negeri Pahang, Dato’ Sri Norolazali Sulaiman yang mewakili Menteri Besar Pahang, Dato’ Seri Wan Rosdy Wan Ismail. Hadir sama Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Dato 'Sri Ibrahim Ahmad dan Naib Canselor UMP, Prof Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusoff, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pahang, Dato Mahmud Mohd Nawawi dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif  IIM, Nor’ afiza Saim.

Dalam ucapannya Dato’ Sri Norolazali berkata, penganjuran persidangan ini memberi peluang peserta berkongsi kepakaran dan pengalaman dalam bidang integriti dan governan berdepan dengan Revolusi Digital.

“Pemilihan tema ini bertepatan pada masanya dan kini sudah tiba masanya untuk organisasi berfikir semula dan mendapatkan kaedah penyelesaiannya terhadap produktiviti, memastikan kualiti dan menjamin kepuasan pada perkhidmatan menggunakan teknologi digital,” katanya.

Selain itu, pihaknya berbangga dengan Portal My Goverment yang menyokong sistem penyampaian perkhidmatan Kerajaan menggunakan satu platform rangkaian bagi membolehkan capaian kepada aplikasi-aplikasi Kerajaan Elektronik, aplikasi dalaman agensi atau Intranet dan capaian ke Internet. 

Sementara itu, Prof Ir. Dr. Wan Azhar mengharapkan kerjasama baik dengan Yayasan Pahang ini dapat memanfaatkan bidang pendidikan dan pembangunan modal insan  di negeri ini malahan kolaborasi dengan pihak GIACC ini juga memberi peluang universiti meneroka lebih banyak peluang terhadap program bagi meningkatkan kesedaran integriti dan governan menerusi pelbagai inisiatif yang dijalankan.

Pada masa yang sama beliau turut menyerahkan laporan penyelidikan mengenai   "FGIC Corruption Barometer: A Case of East Coast Region" hasil penyelidikan bersama pihak Yayasan Pahang dan UMP kepada Dato’ Sri Norolazali mewakili Menteri Besar Pahang. Kajian ini bertujuan menilai persepsi rasuah di negeri-negeri di Pantai Timur iaitu Pahang, Kelantan dan Terengganu bagi membantu kerajaan  negeri menumpukan perhatian terhadap bidang-bidang untuk meningkatkan kesedaran dan persepsi rasuah  di negeri-negeri ini.  

Penganjuran program ini memberi peluang peserta mengikuti forum bertajuk "Challenges and Impacts of Governance and Integrity in facing Digital Industrial Revolution " yang menampilkan  Datuk Dr. Anis Yusal Yusoff, Timbalan Ketua Pengarah, Pusat Tadbir Urus, Integriti dan Anti-Rasuah (GIACC), Ketua Pegawai Eksekutif Bosch Rexroth Malaysia,  Michel Gunawan dan Ketua Strategi dan Penyelidikan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Raja Segaran serta Ketua Pegawai Operasi merangkap Pendaftar, Prof. Dr. Mohd Ridzuan Darun sebagai moderator membincangkan isu-isu dan cabaran yang dihadapi oleh sektor swasta dan awam dalam memenuhi keperluan Revolusi Perindustrian Digital dan kesediaan mereka dalam menghadapi cabaran semasa.   

Manakala forum  bertajuk "Inculcating Good Governance and Integrity in Education towards Digital Industrial Revolution" membincangkan bagaimana Pendidikan Tinggi memainkan peranan penting dalam membentuk sumber manusia yang diperlukan untuk memenuhi permintaan revolusi dan ahli panel  berkongsi pengalaman berdepan dengan cabaran masa depan. 

Dalam program ini, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni),  Prof. Dato’ Dr. Yuserrie Zainuddin sebagai moderator bersama ahli panel terdiri daripada  Naib Canselor Universiti Malaysia Kelantan,  Prof. Ts. Dr. Noor Azizi Ismail, Profesor Fakulti Pengurusan Industri UMP, Prof. Dato 'Sri Ts. Dr. Daing Nasir Ibrahim, Ketua Pegawai Eksekutif, Human Government Institute Inc. Malaysia, Prof. Dr. Arfah Salleh dan Prof. Dr. Susela Devi K. Suppiah yang merupakan Profesor di Sunway University Business School, Malaysia.

Forum bertajuk “Innovative Initiative towards Managing Governance and Integrity: The Way Forward” menampilkan Dato 'Sri Ibrahim Ahmad sebagai moderator bersama ahli panel yang terdiri daripada Nor’ afiza Saim, Pengarah Sektor Audit Governan, Jabatan Audit Negara dan Pengarah Keselamatan Informasi, Asia Pasific University of Technology and Innovation (APU), Prof Madya Dr. Husin Jazri.

Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim