Skip to main content

Tasik UMP Tarikan Beriadah

Tasik Universiti Malaysia Pahang (UMP) menjadi tarikan bukan sahaja untuk beriadah malahan aktiviti rekreasi dan bersukan.

Terdapat empat buah tasik di sekitar UMP dan salah satunya berhadapan perpustakaan yang berkeluasan 44.26 ekar. Tasik ini juga dilengkapi dengan trek jogging sepanjang 1,614 meter turut dilengkapi dengan laluan basikal sepanjang 1,524 meter.

Pengarah Pusat Sukan dan Kebudayaan UMP, Abd Rahman hj Safie berkata, sebagai menyahut seruan universiti menjadikan UMP Pekan sebagai salah satu pusat pendidikan pelancongan (Edu-Tourism) di Pekan Pahang pelbagai aktiviti bakal diadakan.

Pihaknya sentiasa menitik beratkan penjagaan dan pemuliharaan alam sekitar termasuk memastikan persekitaran tasik ini bersih agar tidak menggangggu ekosistem hidupan di tasik ini. 

“Tasik ini juga sesuai buat orang ramai untuk menjalankan aktiviti  bersukan dan amalan gaya hidup sihat termasuk aktiviti rekreasi seperti perkhemahan dan bot kayuh,” katanya.
 
 Sepasang rusa Axis-Axis yang diberi nama "Pekan" dan "Chini' turut menjadi tarikan bagi pelawat  dalam menjadikan UMP sebagai salah satu tarikan edu-tour kepada pengunjung seterusnya menjadikannya sebagai satu jenama yang turut membantu peningkatan mutu bagi promosi Medan Ikan Bakar dan bandar Pekan. 

Program ini juga dapat menyediakan persekitaran yang kondusif kepada pengunjung serta mempromosikan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat. Projek ini merupakan salah satu daripada beberapa komponen Strategi Pemantapan Serambi - Bandar Pekan- Kuala Pahang. 

Inisiatif ini merupakan kerjasama di antara pihak Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dan UMP di bawah program empower ECER Mahkota  bagi membantu meningkatkan daya tarikan pengunjung ke kawasan Kuala Pahang selari dengan pembangunan Kompleks Medan Ikan Bakar dan Pusat Pemprosesan Hasil Laut yang baharu beroperasi tahun lalu.

Tambah beliau, pertandingan memancing juga kerap diadakan bagi memberi peluang orang ramai menyaksikan keindahan kampus hijau di samping menjalinkan hubungan baik dengan komuniti setempat.

Selain itu, terdapat juga Perkhidmatan bot dikendalikan di bawah kelolaan Pusat Sukan dan Kebudayaan UMP dengan mengenakan sewaan sebanyak RM5 bagi 15 minit, manakala RM8 bagi 30 minit dan bagi kanak-kanak ianya memerlukan pengawasan daripada penjaga.

Perkhidmatan dibuka setiap hari Isnin hingga Jumaat ‪dari jam 5 hingga 7‬ petang. Terdapat juga tawaran pakej perkhidmatan bagi aktiviti perkhemahan di Tapak Perkhemahan Pusat Rekreasi Air ini. Maklumat lanjut boleh berhubung dengan Pusat Sukan dan Kebudayaan di talian ‪09-549 3221‬/09-424 5753 atau  En. Nor Azazi (‪017-912 5936‬) atau En. Ahmad Azlan (‪012-264 1503‬). 

Reports by:
Nur Laila binti Afandi