Skip to main content

Teater “Friendship” Bawa Penonton Imbau Kenangan Zaman Persekolahan

Kuantan, 10 Disember– Pementasan teater bertajuk “Friendship” mengangkat tema kisah persahabatan dan pertelingkahan antara lima pelajar dalam kelas 5 Cempedak di SMK Warisan. Watak yang ditonjolkan berjaya membawa penonton untuk mengimbau kembali kenangan pada zaman persekolahan.

Karya yang dipentaskan Kelab Waris Theatre pada 2 Disember baru-baru ini berkisar konflik yang terjadi antara pelajar 5 Cempedak dengan para guru, ditambah pula kisah percintaan serta kisah lampau dua sahabat baik Pok Tam dan Bird yang mempunyai  isu berbangkit telah menghidupkan lagi kemeriahan di kelas 5 Cempedak. Justeru, tidak hairanlah jualan tiket pada kali ini mendapat sambutan luar biasa daripada kalangan warga UMP sendiri dengan lebih daripada 300 tiket berjaya dijual.

“Penonton pastinya tidak menyangka jangka masa latihan produksi hanyalah sekitar dua minggu sahaja. Tempoh latihan yang singkat bukanlah penghalang bagi pasukan produksi “Friendship” untuk menonjolkan sebagai sebuah karya yang hebat kerana mempunyai bakat besar yang dimiliki oleh para pelakon sendiri,” ujar pengarah produksi “Friendship”, Mohamad Lokman Idris yang merupakan mahasiswa Fakulti Kejuruteraan Awam dan Sumber Asli (FKASA)

Lebih dikenali sebagai Lo’i, 20, beliau sangat berbesar hati kerana diberikan kepercayaan dalam mengendalikan karya agung yang dihasilkan sendiri oleh Muhammad Fuad Ahmad Nasser yang merupakan seorang karyawan berpengalaman dan pernah mewakili negeri Pahang pada Festival Teater Malaysia baru-baru ini. Ditambah pula dengan tenaga produksi publisiti yang mantap, sememangnya sangat membantu karya ini agar menjadi bualan orang ramai.

Menjadi seorang pengarah buat pertama kalinya ini, sememangnya mencabar dirinya seterusnya menjadi satu titik permulaan buat beliau untuk keluar dari kepompong zon selesa sebagai seorang pelakon dan belajar untuk menjadi pengarah yang baik setanding pengarah filem dalam industri seni di luar sana.

Katanya, antara cabaran lain yang dihadapi dalam mengendalikan produksi ini juga ialah kekangan masa, tempat latihan yang terhad juga barisan pelakon baru yang kehausan pengalaman dan tunjuk ajar. Namun begitu, produksi yang bertulang belakangkan seramai 76 orang ini, dilihat sebagai satu sumber kekuatan buat pengarah sendiri untuk meneruskan perjuangan tersebut hingga ke akhir.

Menurutnya, teater sememangnya tidak mampu membuatkan kita kaya dengan harta benda, sebaliknya menjadikan kita kaya dengan ilmu dan juga pengalaman. Dengan tagline beliau, “Teater Memanusiakan Manusia“, kepuasan dalam menyertai teater ialah perasaan cinta, kasih dan sayang dapat dikongsikan bersama penonton.

Disediakan oleh Nurizzati Md Tuhidin dari Unit Publisiti dan Kewartawanan Media Massa UMP

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri