Skip to main content
Tiada Kompromi Terhadap Integriti Akademik

Tiada Kompromi Terhadap Integriti Akademik

Pekan, 4 Julai- Tindakan ahli akademik ataupun pelajar yang tidak berintegriti boleh mencemar kesucian bidang pendidikan dan memberi impak terhadap usaha membangunkan modal insan di negara ini. 

Perbuatan sama ada memalsukan hasil kajian atau dokumen, menyalahguna dana penyelidikan, memplagiat hasil kerja orang lain tanpa keizinan dan pemboncengan gratis merupakan jenayah akademik yang bukan saja boleh menjejaskan profesionalisme mereka yang melakukannya, lebih buruk lagi boleh mencetuskan konflik jangka panjang yang mungkin menjejaskan kualiti ahli akademik atau bakal cendekiawan yang dihasilkan.

Persekitaran pendidikan seharusnya menjadi lapangan untuk menerapkan nilai moral dan etika yang tinggi dalam diri generasi muda negara hari ini manakala aktiviti plagiat yang dilakukan ahli akademik atau graduan boleh merendahkan nilai harga diri dan ketinggian ilmu.

Menurut Naib Canselor UMP, Profesor Ir Dr Wan Azhar Wan Yusoff berkata, sekiranya  gejala plagiarisme tidak dibendung, ianya akan memberi kesan terhadap kualiti graduan yang dilahirkan sekaligus menjejaskan perkembangan ilmu baharu yang seharusnya dicambah di menara gading.

“Sekiranya terdapat aduan dari mana-mana pihak tentang sebarang salah laku dalam penyelidikan seperti plagiat perkara ini akan disiasat dan pihak universiti boleh mengambil tindakan tatatertib terhadap mana-mana pelajar atau pensyarah di bawah peraturan dan akta yang sedia ada sekiranya terbukti bersalah,” katanya. 

UMP tidak akan berkompromi dalam apa jua tindakan salah laku dan sekiranya didapati bersalah tindakan tegas akan diambil di bawah Kaedah 6 : Larangan terhadap Plagiarism   Kaedah-kaedah Universiti Malaysia Pahang (Tatatertib Pelajar Pelajar) 2009 dan Akta 605 (Akta Badan Berkanun) Tatatertib dan Surcaj 2000 Peraturan 3 (2) (a), (f), (g). 

Selain itu, umum mengetahui bahawa penyelidikan yang beretika hendaklah memastikan agar penyelidikan yang asli dan berkualiti dapat dihasilkan. Sebagai seorang ahli akademik, penyelidik atau pensyarah mestilah mempunyai kesedaran etika dan integriti yang tinggi. Malahan menjadi tanggungjawab bersama untuk memperkasa dan membudayakan amalan integriti dalam semua aspek kehidupan. 

Dalam pada itu, Perpustakaan UMP juga turut menyediakan kemudahan Perisian Anti Plagiat Turnitin iaitu satu perisian berasaskan laman sesawang yang dapat membantu pensyarah dan pelajar menyemak kadar persamaan dalam rujukan dan penghasilan sesebuah tugasan. Sebanyak 3000 lesen perisian ini dilanggan pada setiap tahun untuk kemudahan pelajar dan pensyarah UMP bagi menyemak tugasan dan mengesan sebarang unsur plagiarisme dalam tesis serta penulisan akademik secara dalam talian.
 

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri