Skip to main content

Town Hall Menteri Belia dan Sukan Bersama Mahasiswa, Belia dan Persatuan Sukan

Kuantan, 18 Februari- Lebih 1500 mahasiswa membanjiri Dewan Astaka Universiti Malaysia Pahang (UMP) dalam menjayakan siri Town Hall Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bersama belia dan mahasiswa institusi pendidikan tinggi sekitar Negeri Pahang hari ini. Mereka terdiri mahasiswa, belia  dan wakil persatuan  sukan antaranya yang hadir daripada Widad University College, Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah, Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS), Pahang Skills Development Centre, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Universiti Teknologi MARA. 

Hadir sama Naib Canselor UMP, Prof Dato Sri Dr Daing Nasir Ibrahim, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Dato Ahmad Shapawi Ismail dan Pengarah Jabatan Belia  dan Sukan Pahang,  Shansuhaimi Basir.  Menurut Prof Dato Sri Dr Daing Nasir, pihaknya mengalukan-alukan kehadiran YB Syed Saddiq untuk berkongsi aspirasi dan mendengar suara anak muda dalam kalangan mahasiswa  yang buat julung kalinya di universiti ini.

“Pertemuan ini juga bakal memperkasa kepimpinan mahasiswa dan belia termasuk dalam pembangunan sukan di negara ini. Pendekatan yang dimainkan semua pihak dalam membentuk golongan belia berketrampilan amat penting bagi melahirkan belia sebagai pewaris masa depan,” katanya.

Dalam program ini, Wan Emril Nizam Wan Embong yang merupakan Presiden Majlis Belia Negeri Pahang bertindak sebagai moderator. Syed Saddiq juga meluangkan masa lebih dua jam untuk memberi penerangan berkaitan dasar-dasar kerajaan dan sesi soal jawab berkaitan mahasiswa serta belia. Perbincangan  berkisarkan pandangan dan cadangan bagi menangani isu pembangunan sukan, kepimpinan belia, pengangguran dan kenaikan taraf hidup yang menjadi beban buat generasi muda.

Selain itu, YB Syed Saddiq turut mengumumkan peluang untuk generasi muda bekerja di luar negara bagi menimba pengalaman lanjutan daripada hasil kerjasama dengan negara Perancis. Pengalaman ini pastinya dapat digunakan golongan muda untuk kembali menyumbang kepada pembangunan negara kelak.

 

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim