Skip to main content

UMP Cakna Terhadap Kebajikan Pelajar dan Komuniti

Sentiasa cakna terhadap menangani masalah dan isu pelajar berlapar, Pusat Islam dan Pembangunan Insan (PIMPIN) di Universiti Malaysia Pahang (UMP) dengan kerjasama Skuad MyGift UMP melaksanakan program Food For All dalam membantu pemberian makanan sarapan pagi dan makan tengah hari percuma untuk mahasiswa UMP yang memerlukan dan tidak berkemampuan pada setiap hari di kedua-dua masjid UMP di Gambang dan Pekan. Bukan itu sahaja, lebih menarik UMP juga menyediakan juadah makan malam pada setiap hari Khamis sebagai juadah berbuka puasa bagi pelajar yang menunaikan ibadah puasa sunat.  

Sebagai menyokong usaha universiti terhadap kebajikan pelajar, pelbagai inisiatif dijalankan di peringkat jabatan bukan sahaja di masjid, malahan pelajar juga boleh mendapatkan makanan percuma di fakulti dan jabatan lain sekitar kampus. Projek ini juga sebagai menyokong program MyGift UMP yang giat dijalankan UMP khususnya dalam membantu mahasiswa dan komuniti setempat.

Misalannya, Program Kongsi Rezeki turut dijalankan pihak Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA) dengan kerjasama kafeteria universiti dengan menyediakan  pek makanan untuk diagihkan kepada para pelajar UMP di kedua-dua kampus UMP di Gambang dan Pekan khususnya bagi mereka mempunyai masalah kewangan yang kritikal dan layak untuk menerima manfaat ini. Begitu juga Inisiatif Sarapan Percuma daripada Perwakilan Kolej Kediaman (PEKA) dalam membantu mahasiswa yang mempunyai masalah kewangan pada waktu tertentu.

Manakala Projek Gerobok Rezeki #BPACare juga mensasarkan mahasiswa UMP yang kurang berkemampuan. Melalui projek ini, satu almari ditempatkan di Pejabat BPA Gambang dan Pekan bagi membolehkan mahasiswa mengambil apa sahaja barangan keperluan yang dikehendaki secara percuma.

Menurut Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof. Dato’ Dr Yuserrie Zainuddin berkata, Universiti berfungsi melahirkan tenaga profesional untuk pembangunan negara. Oleh itu pelajar di universiti perlu menumpukan pengajian dengan selesa dan bersesuaian. Hakikatnya terdapat pelajar yang kurang bernasib baik dalam meneruskan pengajian sama ada menghadapi masalah akademik atau kurang perbelanjaan.

Katanya, bagi pelajar yang kurang berkemampuan sememang universiti bertanggungjawab bagi memastikan mereka terus menamatkan pengajian. Tanggung jawab sosial ini dalam menghadapi tekanan hidup, ianya bukan lagi satu opsyen tetapi tindakan yang perlu dilakukan dan kebanyakan bantuan diterima dalam pelbagai dimensi dan keupayaan universiti.

“Universiti memberi bantuan dalam bentuk zakat, biasiswa, bantuan khas memulakan pengajian, kongsi rezeki, bantuan kebajikan untuk yuran atau kesihatan. 

Di samping pelajar digalakkan berniaga dengan ruang perniagaan dan kotak kotak perniagaan atau biz box. Juga bagi yang kurang berkemampuan peluang bekerja sambil belajar diwujudkan bagi memberi peluang untuk mendapat pendapatan untuk perbelanjaan tanpa mengorbankan akademik mereka,” katanya ditemui baru-baru ini semasa menyampaikan sumbangan insentif pendidikan khas untuk pelajar baharu yang mendaftar masuk ke UMP.

Dalam pada itu, keutamaan belajar merupakan yang amat penting, justeru mereka perlu tahu membahagikan masa dan pandangan Kaunselor universiti perlu diperolehi bagi mengawasi prestasi akademik mereka. Selain dari memberi peluang perniagaan mereka juga dilatih dan diberikan pendedahan perniagaan agar urusan mereka tidak menganggu sesi pembelajaran mereka.

Sementara itu, penyelaras inisitif Food For All, Siti Nazira Hazudin dari PIMPIN berkata, pihaknya menyediakan makanan seperti makanan  seperti biskut, roti, keropok , buah-buahan dan air minuman di masjid hasil sumbangan orang ramai serta pihak NGO lain yang menyumbang sama ada berbentuk makanan atau tunai untuk dimanfaatkan pelajar.

UMP mengalu-alukan sumbangan daripada semua pihak termasuk warga UMP, pelajar, alumni dan individu serta badan-badan korporat sama ada di dalam mahu pun luar negara dalam menyokong pembudayaan menderma demi memakmurkan ilmu pendidikan di universiti ini. Orang ramai boleh turut sama menyumbang melalui perbankan internet dengan melayari portal MyGift di laman web universiti www.ump.edu.my untuk mendapat maklumat lanjut mengenai program ini.

FAKTA ENDOWMEN BIASISWA PELAJAR

·         Penajaan Biasiswa Kepada Pelajar Miskin Cemerlang

UMP akan menawarkan biasiswa kepada pelajar miskin yang cemerlang bagi membantu mereka dalam pembelajaran di UMP dan di peringkat yang lebih tinggi. Penajaan ini meliputi yuran pendidikan, asrama dan sara diri mengikut program sepanjang pengajian.

·         Pemberian Insentif Pendidikan

Pemberian Insentif sebanyak RM1000 kepada bakal mahasiswa yang mengalami masalah kewangan dan ingin melanjutkan pelajaran di UMP. Ianya sedikit sebanyak membantu mereka dalam pembayaran yuran atau sara diri untuk pembelajaran di UMP.

Jenis Endowmen/Tabung MyGift UMP

1.    Endowmen Kursi

2.    Endowmen Biasiswa Pelajar

3.    Endowmen Makmal/Kemudahan

4.    Tabung Ramadan

5.    Tabung Masjid

6.    Tabung Bencana

7.    Tabung Wakaf

8.    Tabung Komuniti

9.    Tabung Sumbangan Prasarana

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim