Skip to main content

UMP cemerlang 96 peratus kebolehpasaran graduan penuhi peluang pekerjaan

Pekan, 14 Jun- Kadar kebolehpasaran graduan (GE) Universiti Malaysia Pahang (UMP) terus cemerlang dengan melonjak 96 peratus berbanding 95 peratus pada tahun lalu mengatasi universiti awam yang lain. Pencapaian ini melepasi sasaran sebanyak 80 peratus pencapaian yang ditetapkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). UMP kini berada pada kedudukan terbaik hasil kerjasama pihak industri dan berjaya melahirkan graduan yang kompeten, holistik, berciri keusahawanan juga seimbang yang menepati keperluan industri.

Pengumuman ini dibuat Naib Canselor UMP, Profesor Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusoff sempena Majlis Sambutan Aidilfitri dan Jasamu DiKenang yang berlangsung di Dewan Bankuet Bangunan Canseleri Tun Abdul Razak baru-baru ini. Hadir sama Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Dato’ Sri Ibrahim Ahmad, Ketua Pegawai Operasi merangkap Pendaftar, Profesor Madya Dr. Mohd Ridzuan Darun, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Dr. Kamal Zuhairi Zamli serta barisan pengurusan dan ahli Lembaga Pengarah UMP.

Menurut Profesor Ir. Dr. Wan Azhar, beliau melahirkan rasa bersyukur dengan pencapaian ini dan mengharapkan kecemerlangan ini akan dapat diteruskan pada masa akan datang. Dalam pada itu pihaknya menghargai warga UMP yang dapat hadir dalam kesederhanaan acara tersebut.

Katanya, warga UMP daripada pelbagai peringkat dapat berhimpun dalam suasana ukhuwwah yang mesra, sekaligus membuktikan komitmen kita untuk meneruskan agenda kegemilangan UMP dengan wehdah al-fikri (kesatuan pemikiran) dan wehdah al-amal (kesatuan tindakan).

“Hari ini merupakan hari ke-30 saya memikul tanggungjawab sebagai Naib Canselor dan dalam tempoh tersebut saya dapat merasakan bahawa kewajipan ini amatlah berat dan mencabar bagi meneruskan momentum UMP menuju kegemilangan. Justeru, majlis pada hari ini turut mengabadikan apresiasi kepada mantan Naib Canselor, Profesor Dato’ Sri Dr. Daing Nasir Ibrahim,” ujarnya.

Pihak Universiti ingin merakamkan terima kasih Naib Canselor UMP ketiga yang mana Prof. Dato Sri Dr Daing Nasir Ibrahim merupakan Bapa Transformasi universiti ini  dalam memartabatkan UMP menjadi antara universiti terbaik Asia dan persada antarabangsa. 

Sambutan Aidilfitri peringkat UMP dimeriahkan dengan kehadiran hampir 2000 tetamu ke ini juga sebagai satu platform untuk mengeratkan silaturrahim di antara seluruh warga UMP. Majlis bermula pada jam 10.30 pagi ini menyajikan menu raya bertemakan Kasih Sayang seperti Nasi Briyani UMP Ku Sayang, Kuih muih dan Puding Sehati Sejiwa, Air Balang Ombak Rindu,  Sate Kasih UMP, Lemang & Rendang Daging  Sejoli , Nasi impit Kasih Tercipta, Lodeh & Kuah Kacang Jalinan Kasih, Apam Balik UMP Di Hatiku, Kambing Golek Sesuci Lebaran serta Cendol Manis Memikat.