Skip to main content

UMP cungkil bakat pelajar hasil reka cipta berteraskan penjimatan dan mesra alam dalam AiNEX

Kuantan,  3 Julai  – Sebanyak 50 hasil  penyelidikan peserta dalam kalangan pelajar sekolah menengah hinggalah ke peringkat Universiti telah dipertandingkan dalam pertan­dingan Advanced Innovation & Engineering 2019 (AiNEX) anjuran Pusat Kejuruteraan Automotif (AEC), Universiti Malaysia Pahang (UMP) di Dewan Astaka, UMP kampus Gambang baru-baru ini.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Pengarah AEC, Profesor Mad­ya Dr. Abdul Adam Abdullah. Hadir sama Pensyarah Pusat Bahasa Moden & Sains Kemanusiaan UMP, Kapten Imaduddin Abidin dan Pensyarah Kuliyyah Sains Kesihatan Bersekutu, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr. Zafri Azran Abdul Majid.

Dalam ucapannya beliau berkata, pertandingan itu diadakan untuk melahirkan penyelidik muda dari peringkat sekolah, kolej, politeknik serta universiti dalam menyalurkan idea kreatif dan inovatif dalam menghasilkan produk berteraskan penjimatan serta mesra alam.

“Penganjuran ini merupakan kali ketiga ini untuk terus menyokong misi UMP dalam menyediakan pendidikan, penyelidikan dan perkhidmatan yang tinggi kua­litinya dalam bidang kejuruteraan serta teknologi. Dalam masa yang sama, menerusi program ini dapat membudayakan kreati­viti dan inovasi. Penganjuran ini merupakan platform terbaik untuk para penyelidik menghasilkan inovasi dan ciptaan berdaya saing pada masa akan datang,” katanya.

Sebanyak tiga kategori melibatkan ahli akademik, pelajar institusi pengajian tinggi dan pelajar sekolah  menengah dipertandingkan pada kali ini.

Bagi anugerah terbaik keseluruhan dimenangi oleh pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Ahmad Nazrul Hakimi Ibrahim menerusi hasil penyelidikannya Epoxidized Natural Rubber (ENR) modified bitumen and asphalt mixture iaitu satu produk pengubahsuaian bitumen bagi pembinaan jalan raya yang dapat menyelesaikan masalah kerosakan jalan raya.

Beliau yang turut meraih tempat pertama bagi kategori universiti membawa pulang sijil, medal dan wang tunai RM800. Manakala tempat kedua dan ketiga pula telah dimenangi oleh Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan  Universiti Putra Malaysia  (UPM).

Bagi kategori Sekolah pula tempat pertama telah dimenangi oleh SMK Abdul Rahman Talib (SMART), Kuantan, tempat kedua pula telah dimenangi oleh MRSM Tun Abdul Razak, Pekan dan tempat ketiga SM Sains Selangor, Kuala Lumpur.

Manajkala kategori kolej pula tempat pertama telah dimenangi oleh Kolej Vokasional Temerloh, diikuti tempat kedua dan ketiga dimenangi oleh Kolej Profesional MARA Indera Mahkota dan Kolej Vokasional Kuantan. Bagi Anugerah Inovasi dan Pengkomersilan pula telah dimenangi oleh Kolej Vokasional Temerloh Pahang menerusi penyelidikan Autocut-off Fuel Ignition (AFI) dan Anugerah Khas Sekolah Berinovasi pula telah dimenangi oleh Sekolah Menengah Sains Hulu Selangor, Batang Kali, Selangor.

Disediakan oleh Nor Salwana Mohamad Idris daripada Bahagian Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri