Skip to main content

UMP Lancar Portal Komuniti ADAM Memeriahkan Sambutan Bulan Kebangsaan

Kuantan, 21 September- Universiti Malaysia Pahang (UMP) melancarkan Portal Komuniti A.D.A.M yang bertujuan sebagai wadah menyatukan masyarakat merentasi generasi dan geografi menerusi teknologi selari dengan slogan Pelan Strategik UMP 2016-2020 iaitu `Memasyarakatkan Teknologi’. 

Keunikan portal ini adalah sebagai hub perpaduan da peradaban sejagat bagi menyantuni dan menyatukan komuniti global berteraskan sumbangan umat terhadap keharmonian dunia terutamanya melalui pengurusan kepelbagaian serta Sains dan teknologi. Dengan mendapat kerjasama pihak Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri (BTPN), ianya mengandungi 40 modul berkaitan perpaduan dan peradaban yang boleh dimanfaatkan dalam pendidikan awal pelajar sekolah. 

Menurut Naib Canselor UMP, Prof. Dato Sri Dr Daing Nasir Ibrahim, wibawa universiti sebagai gedung ilmu pengetahuan dan iklim kesarjanaannya menuntut warga UMP melihat patriotisme tersebut dari dimensi yang tersendiri. Maka harus sekali ada mesej penting daripada penganjuran Festival Aku Darah Anak Malaysia (A.D.A.M) ini kepada para anak didik di universiti yang dapat dioptimumkan peranannya sebagai semaian subur patriotisme dalam kalangan warga kerja dan mahasiswa. 

Penganjuran A.D.A.M sempena sambutan Bulan Kebangsaan 2018 peringkat UMP menyaksikan kemeriahan warga universiti ini dalam menyambut Hari Kebangsaan pada 31 Ogos dan Hari Malaysia pada 16 September yang diselangi urusan kemasukan mahasiswa baharu pada 2 September yang lalu. 

“Dimensi patriotisme ini ialah keupayaan untuk mendakap standard pemikiran kelas pertama dan budaya tinggi (high culture) yang disertai kesedaran sivik dan penghayatan nilai etika. Dimensi inilah yang sekian lama menjadi cabaran kepada kita warga Malaysia untuk direalisasikan. Menuju aspirasi menjadi negara maju, soal pemikiran, budaya, sivik dan etika begitu kritikal sebagaimana yang telah berjaya dibuktikan oleh rakan-rakan kita di negara Jepun,” katanya dalam Majlis Penutup Festival ADAM sempena Sambutan Hari Kebangsaan di Dewan Astaka UMP hari ini. 

Beliau juga berbangga dengan kejayaan pensyarah UMP dari Pusat Bahasa Moden & Sains Kemanusiaan, Dr. Munira Abdul Razak apabila Projek Aku Darah Anak Malaysia (A.D.A.M) telah memenangi pingat emas dalam International University Carnival on E-Learning (IUCEL) baru-baru ini. Katanya, produk penyelidikan ini ialah Pengurusan Kepelbagaian (Diversity Management) dalam bentuk Teknologi Disruptif. Keistimewaannya terdapat gabungan dua elemen utama iaitu Autentik dan Altruistik dalam menjamin kualiti produk servis berorientasikan aplikasi akademik, e-latihan serta gamifikasi yang bertepatan dengan aspirasi UMP iaitu ‘Memasyarakatkan Teknologi’ serta kehendak Industri dan Pendidikan 4.0. 

Dalam pada itu UMP  mengadakan beberapa aktiviti seperti Pertandingan Fotografi “ Lensa Merdeka 61”  dan Video Pendek “ Lensa Bakti” bagi menyemarakkan semangat jati diri serta meningkatkan kesedaran tentang sejarah kemerdekaan serta menanamkan perasaan sayang kepada Negara bersempena Sambutan Bulan Kemerdekaan Peringkat Universiti tahun ini. 

Di antara pengisian termasuklah Pameran Kemerdekaan 2018 yang diadakan di Perpustakaan UMP, Classroom to Global Community bertemakan Ekspressi Bakti, Promosi dan Penghargaan melalui Teknologi (e-bP2@T), Aspirasi Merdeka dan Cendekia Bicara yang menampilkan aktivis kemanusiaan/jurufoto profesional iaitu Stefano Romano, Pengarah Pusat Bahasa Mandarin dan Kebudayaan, Yong Ying Mei  dan penerima Pearson ELT Teacher Award an Global Teacher Prize Varkey Foundation –Malaysia iaitu  Noorjahan Sultan bersama moderator yang merupakan pensyarah UMP, Dr Youventharan Duraisamy. 

Turut berlangsung penyampaian hadiah Pertandingan Foto Lensa Merdeka 61 yang dimenangi Siti Nuraishah Kamaruddin daripada Jabatan Penyelidikan dan Inovasi. Bagi Pertandingan Video Pendek (Staf) dimenangi Syafikah Abd Aziz dari Jabatan Pendaftar manakala Video Pendek (Pelajar) dimenangi oleh Mohamad Amin Mohamad Mokhtar dan kategori Terbuka dimenangi Airuz Fazli Zaharuddin.

Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim