Skip to main content

UMP melestari budaya STEM Minat Matematik

Kuantan, 1 Ogos - Fakulti Sains & Teknologi Industri (FSTI) dengan kerjasama Perbadanan Perpustakaan Awam Pahang menganjurkan program khidmat komuniti ‘Mathemania’ bersama pelajar pra sekolah dan sekolah rendah sekitar Kuantan bertempat di Perpustakaan Awam Kuantan.

Program dihadiri lebih 100 orang pelajar melibatkan sekolah rendah dan pra sekolah  sekitar Kuantan termasuk guru pengiring. Antaranya Tadika Tiara Bestari, Tadika Seri Aman Intelek, SK Tanah Putih Baru, SK Tunku Azizah, SK St. Thomas, SK Teruntum dan SK Sultan Abdullah.

Hadir merasmikan program, Timbalan Pengarah Pendidikan, Jabatan Pendidikan Negeri Pahang, Haji Zaimi Abu Bakar yang turut dihadiri Pegawai Perpustakaan Perbadanan Perpustakaan Awam Pahang, Mohd Noor Hj. Abdul Rahman dan Pengarah Pusat Pembangunan & Penempatan Kerjaya UMP, Ir. Ts. Dr. Siti Zubaidah Sulaiman. 

Turut sama Timbalan Dekan (Akademik & Hal Ehwal Pelajar), Fakulti Sains & Teknologi Industri (FSTI), Prof Madya. Dr. Roslinazairimah Zakaria, Ketua Program Sains, Fakulti Sains & Teknologi Industri, Prof. Madya Dr Mohd Zuki Salleh.  

Bagi pengarah program, Dr. Adam Shariff Adli Aminuddin mengharapkan program ini dapat menjadikan UMP sebagai sebuah pusat STEM di peringkat zon Pahang di samping dapat mempromosikan bidang sains dan teknologi sebagai pilihan utama pelajar apabila tamat belajar kelak.

“Kluster Applied & Industrial Mathematics (AIMs) khususnya di bawah FSTI sentiasa komited dalam menyokong idea serta melestarikan budaya STEM Matematik dalam kalangan para pelajar sejak tahun 2012 lalu.

Sehingga kini melalui pelbagai program yang telah dianjurkan seperti Karnival Ez-SciMat, Oh My Maths, Kem Matematik, Program Pemantapan Matematik dan Matematik tambahan, Suduko Battle, Kem Saintis Muda dan Latihan Olimpiad Matematik Kebangsaan,” ujarnya.

Pada tahun lalu sahaja pihaknya telah melaksanakan Program Mathboot Camp 1.0 yang dijalankan bersama 50 pelajar sekolah. Beliau  mengharapkan dapat menyedia dan mempromosikan khidmat komuniti yang memberi impak signifikan sosio ekonomi kepada komuniti setempat.

Manakala menurut Tuan Hj. Zaimi, pada abad 21 kini penekanan dan pembudayaan STEM perlu diterapkan seawal pra sekolah dan sekolah rendah khususnya di negeri Pahang sejajar dengan hasrat Menteri Pendidikan Malaysia dalam memperkasakan pendidikan STEM di Malaysia.

Beliau juga mengharapkan UMP dapat menganjurkan satu pertandingan khusus buat pelajar pra sekolah berumur 4 hingga 6 tahun khususnya di negeri Pahang yang mana pada ketika ini kreativiti para pelajar ini dapat diasah serta memberi impak yang lebih tinggi.

Turut diadakan slot aktiviti bagi pelajar pra sekolah terdiri daripada Dam Ular, Mari Mengira! serta Panjang & Tinggi manakala bagi pelajar sekolah rendah aktiviti yang dianjurkan Get Set..Go, Checkers Mania dan Pop Up The Data. 

 Disediakan oleh Siti Nurfarmy Ibrahim daripada Bahagian Komunikasi Korporat

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim