Skip to main content

UMP Perkenal 6 R Kekal Kampus Lestari

Kuantan, 19 Februari- Universiti Malaysia Pahang (UMP) melancarkan Polisi Hijau UMP dan Kempen “Let’s Break Up with Single-Use Plastic” bagi mengurangkan penggunaan plastik oleh warga kampus. Ianya adalah usaha berterusan hasil inisiatif Jawatankuasa Kelestarian UMP di bawah Kluster Pengurusan Sisa dalam menyemai kesedaran menghapuskan penggunaan single-use plastics di UMP. Universiti memfokuskan enam prinsip iaitu Refuse, Reduce, Reuse, Recycle, Rot & Re-Think dalam aspek pengurusan sisa yang merupakan salah satu bidang kesihatan persekitaran.

Pelancaran kempen yang disempurakan Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Sri Dr Daing Nasir Ibrahim bersempena Majlis Amanat Tahunan 2019 baru-baru ini merupakan langkah proaktif UMP dalam menyahut seruan kerajaan seiring dengan Malaysia’s Roadmap Towards Zero Single-Use Plastics 2018-2030 yang dilancarkan oleh Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar & Perubahan Iklim (MESTECC) pada 17 Oktober tahun lalu.

Menurut Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Dato’ Dr Mashitah Mohd Yusoff yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kelestarian Kampus, antara tumpuan utama kempen ini adalah menggalakkan penggunaan penyedut minuman, beg dan pembungkus makanan dan minuman yang boleh diguna semula.

“Ketiga-tiga bahan tersebut menyumbang kepada 30 hingga 40 peratus sisa yang dijana di universiti. Sisa yang sukar diterima oleh pihak vendor untuk dikitar semula akan menyebabkan pencemaran kepada alam sekitar disebabkan oleh sifatnya yang sukar terurai,” katanya. Pengurusan sisa secara lestari ini juga diperkasakan lagi dengan pembangunan dan pengoperasian Pusat Kompos & Kitar Semula yang terletak di dalam kampus.  

Selain itu, kempen ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran kepentingan tanggungjawab bersama warga UMP dalam mengurangkan penjanaan sisa pepejal domestik UMP yang mana ianya akan mengurangkan jumlah sisa yang dihantar ke tapak pelupusan sampah dan seterusnya membantu mengurangkan pencemaran alam sekitar dan penghasilan gas rumah hijau yang memberi kesan buruk terhadap iklim dunia.
 
Dalam pada itu pelbagai program telah dilaksanakan dan akan dilaksanakan oleh pihak Pejabat Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHMO) secara lestari dalam meningkatkan kesedaran terhadap usaha ini. Antaranya “MYTAPAU” yang mana warga UMP diberikan insentif sekiranya mereka menggunakan bekas makanan sendiri untuk membungkus makanan. UMP juga bekerjasama dengan Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Kuantan dalam usaha mengitar semula semua bahan cetakan seperti kain rentang (banner) yang telah digunakan menjadi beg terpakai (reusable bag).
 
UMP tersenarai pada kedudukan ke- 97 terbaik dunia dan ke-6 terbaik di Malaysia dalam Penarafan UI- Greenmetric World University Ranking 2018 berdasarkan usaha kelestarian kampus hijau dan pengurusan alam sekitar yang telah diumumkan baru-baru ini. Keputusan itu juga menjadikan UMP berada pada kedudukan ke-29 terbaik Asia dan kedudukan ke-16 di Asia Tenggara.  Penilaian dibuat berdasarkan tujuh kriteria utama iaitu Keluasan Tanah dan Infrastruktur, Tenaga dan Perubahan  Iklim, Sisa Buangan, Air, Pengangkutan, Pendidikan dan Gaya Hidup Sihat.

Disediakan oleh Mohd. Marzuki Mohamed dari Pejabat Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHMO) dan suntingan Bahagian Komunikasi Korporat.

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim