Skip to main content

UMP rai dan hargai 9 pesara

Pekan, 6 Ogos 2020 - Persaraan merupakan destinasi yang pasti dihadapi oleh setiap penjawat awam dan banyak pengalaman yang sangat menarik, penuh dengan kenangan, dugaan serta cabaran juga banyak ilmu pengetahuan yang boleh dikongsikan bersama masyarakat.

Latihan, pengalaman, pergaulan dan hubungan baik bukan sahaja dengan rakan-rakan sepejabat malahan melibatkan agensi lain serta pihak luar menjadikan penjawat awam itu sebagai aset yang sangat berharga buat organisasi.

Tanpa kita sedari, segala ilmu, kemahiran dan pengalaman ini menjadi aset penting dan bernilai apabila menempuh dunia persaraan kelak. Malahan ia mengajar segala-galanya tentang kehidupan, pengorbanan dan kejayaan.

Profesor Ts. Dr. Ruzaini Abdullah Arshah, 56, yang merupakan pensyarah Fakulti Komputeran dan bersara pilihan pada tahun ini berkata, “Sentiasa tanamkan di hati, pekerjaan sebagai ibadah, tanpa mengharapkan apa-apa balasan dan bukan sekadar memenuhi keperluan hidup semata-mata.

“Pasti rezeki yang diterima diberkati oleh Allah SWT. Itulah prinsip yang saya pegang sejak 18 tahun lalu ketika mula berkhidmat.

“Sebagai pekerja, kita perlu mempunyai pemikiran yang positif dan jitu. Sememangnya banyak rintangan yang dilalui sepanjang berkhidmat. 

“Namun, kita harus berfikiran positif tanpa perlu menuding jari antara satu sama lain. Sebagai warga UMP kita perlu memberi manfaat kepada anak bangsa dan masyarakat setempat,” ujarnya.

Sepanjang berkhidmat di UMP, beliau pernah dilantik sebagai Dekan,Fakulti Sistem Komputer dan Kejuruteraan Perisian (2002-2007) dan Pengarah IBM Centre of Excellent (2012-2014).

Walaupun hanya seketika menggalas jawatan sebagai Dekan Kanan, pengalaman sewaktu membantu Jabatan Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa (JHEAA) terutamanya dalam menangani pelbagai isu akademik tambahan pula tatkala isu pandemik Covid-19 ini amat bermakna. 

Selain itu, beliau yang berpeluang mengikuti perkembangan universiti sejak awal penubuhan Kolej Universiti Kejuruteraan & Teknologi Malaysia (KUKTEM) dan UMP kini berbangga dengan pelbagai pencapaian serta pengiktirafan yang meletakkan nama UMP dikenali di persada dunia.

Pesanannya, selagi ada hayat sebagai pesara atau bakal pesara teruskan perjuangan untuk memberi manfaat kepada universiti atau masyarakat.

Hadir sama meraikan bakal pesara dan keluarga dalam Majlis Jasa Dikenang 2020 ialah Naib Canselor UMP, Profesor Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusoff bersama barisan pengurusan universiti.

Dalam ucapannya, Profesor Ir. Dr. Wan Azhar amat menghargai sumbangan dan jasa bakti seramai sembilan orang warga kerja yang bersara dalam perkhidmatan.

“Seluruh warga UMP mengucapkan terima kasih atas segala jasa dan sumbangan buat semua staf yang telah menyumbang bakti sepanjang berkhidmat di universiti.

“Sumbangan tenaga dan jasa bakti ini akan sentiasa abadi dalam ingatan,” katanya.

Beliau turut menyampaikan kad Korporat Alumni UMP kepada pesara dan waris yang hadir.

Ini merupakan inisiatif bagi memperluaskan manfaat dan kemudahan kepada pesara universiti yang berpeluang menggunakan perkhidmatan seperti di Pusat Kesihatan Universiti, Perpustakaan, Pusat Sukan & Kebudayaan dan lain-lain.

Ujarnya, inisiatif ini membuktikan keprihatinan berterusan pihak pengurusan UMP terhadap kebajikan dan kesejahteraan warganya.

Turut dirai seramai lapan lagi warga kerja UMP yang bersara iaitu Mohd Sani Sidek, Zamzam Ahmad@Zainuddin, Ramle Abid, Dr. Ramdan Razali, Samini Mat Hassan, Haji Mohd Noor Nawi, Roslina Abd Hamid, dan Nazar Abd Razak. 

Pada masa yang sama majlis itu turut mengenang sumbangan jasa bakti warga kerja UMP yang telah meninggal dunia dalam perkhidmatan iaitu Allahyarham Yahaya Saleh, Allahyarhamah Profesor Dato’ Dr. Mashitah Mohd Yusoff, Allahyarham Mohd Zairie Zahari dan Allahyarham Mohamad Rozi Hassan. 

Semoga roh mereka dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman. Al-Fatihah.

Disediakan Oleh: Nor Salwana Mohamad Idris, Unit Perhubungan Awam dan Media, Pejabat Naib Canselor

Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit