Skip to main content
UMP rai staf tamat pengajian dan pesara

UMP rai staf tamat pengajian dan pesara

Pekan, 19 Disember  - Universiti Malaysia Pahang (UMP) meraikan seramai 28 staf dan felo yang berjaya menamatkan pengajian  di peringkat Doktor Falsafah sepanjang tahun 2018 dalam Majlis Apresiasi Staf dan Felo Tamat Pengajian baru-baru ini. Majlis  juga turut meraikan staf yang telah mencurahkan khidmat bakti kepada universiti hingga ke saat persaraan mereka.

Majlis ini merupakan sebahagian inisiatif dan komitmen pihak pengurusan untuk konsisten mendekati serta berinteraksi dengan warga kerja dan pesara UMP dengan semangat kekeluargaan.

Selain itu juga sebagai tanda penghargaan serta ucapan terima kasih yang tidak terhingga daripada seluruh warga UMP buat pesara atas segala khidmat bakti dan pengorbanan yang dicurahkan dengan penuh dedikasi, sekali gus banyak membantu kepada kecemerlangan UMP.



Naib Canselor UMP, Prof Dato Sri Dr Daing Nasir juga merakamkan penghargaan tahniah dan terima kasih buat staf dan felo yang berjaya menamatkan pengajian itu dalam tempoh yang ditetapkan dan mengharapkan agar mereka dapat menjalankan tanggungjawab yang diberikan ke arah kecemerlangan Universiti.

“Kini bilangan pensyarah yang berkelulusan Doktor Falsafah (PhD) di UMP telah mencapai 69.9 peratus dengan pencapaian ini tentu sekali memberi impak kepada agenda kecemerlangan UMP ke arah merealisasikan Keunggulan Akademik dalam Pelan Strategik UMP 2016-2020,“ ujarnya yang hadir dalam program yang berlangsung di Dewan Bankuet Canseleri UMP Pekan.

Sebagai tanda ingatan dan penghargaan UMP  juga memperkenalkan Kad Korporat  Alumni UMP untuk kemudahan pesara  bagi mendapatkan perkhidmatan dan kemudahan yang ditawarkan di Perpustakaan, Bahagian Keselamatan, Pusat Kesihatan Universiti, Pusat Sukan & Kebudayaan serta beberapa pusat tanggungjawab UMP. Kemudahan ini akan melahirkan rasa kebersamaan (sense of belonging) untuk tetap bersama universiti.  

Hadir sama dalam majlis Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa), Profesor Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusoff, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), Profesor Dato’ Dr. Mashitah Mohd Yusoff, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Profesor Dato’ Dr. Yuserrie Zainuddin dan Ketua Pegawai Operasi merangkap Pendaftar, Abd. Hamid Majid. 

Disediakan oleh Nor Salwana Mohd Idris dari Bahagian Komunikasi Korporat

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri