Skip to main content

UMP santuni media dalam boling persahabatan

Kuantan, 2 Mei- Universiti Malaysia Pahang (UMP) terus menyantuni pihak media menerusi penganjuran Program Boling Persahabatan UMP-Media  2019 yang berlangsung di pusat beli-belah Megamall Kuantan di sini hari ini yang menyaksikan lebih 100 peserta terdiri daripada pengamal media dan pengurusan universiti bersama agensi luar mengambil bahagian dalam acara Boling yang masuk ke-7 tahun penganjuran.

Acara tahunan ini dirasmikan oleh  Naib Canselor UMP, Prof Dato' Sri Dr. Daing Nasir Ibrahim yang turut dihadiri Presiden Kelab Media Pahang, Dato’ Nik Naizi Husin dan Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar Pahang, Dato' Abdul Wahab Mohamad Ali. Hadir sama Pro-Pendaftar, Abd. Rahman Hj. Safie dan Dekan Fakulti Teknologi Kejuruteraan, Prof. Dato’ Dr. Zularisam Ab. Wahid.

"Acara ini bertujuan menghargai sumbangan media dalam menghebahkan maklumat kepada orang ramai selain mewujudkan jaringan komunikasi secara berterusan bersama pihak UMP. Ianya juga sebagai platform untuk merapatkan hubungan menerusi aktiviti riadah di samping memupuk gaya hidup sihat dalam kalangan peserta,” katanya ketika berucap dalam majlis. Program ini juga sebahagian daripada inisiatif UMP untuk mendekati golongan media yang selama ini berusaha keras menyalurkan berita terkini kepada semua pihak.

“UMP berterima kasih kepada media kerana pembabitan mereka menyampaikan maklumat  berjaya sampai kepada masyarakat. Saya harap program seperti ini dapat memperkukuhkan hubungan kerja bersama media pada masa akan datang,” katanya yang turut mengucapkan Selamat Hari Pekerja yang disambut para 1 Mei baru-baru ini. 

Tambah beliau, dengan publisiti dan liputan meluas yang telah diberikan oleh pihak media selama tempoh tersebut, masyarakat awam kini telah mengenali UMP sebagai sebuah universiti teknologi lima bintang dalam melahirkan jurutera dan teknologis yang berdaya saing. UMP sangat berbesar hati mendapat kerjasama yang tidak berbelah bagi daripada pihak agensi media.

Beliau turut berkongsi perkembangan Program MyGift UMP yang mendapat sokongan pihak luar dalam mengumpul endowmen dan tabungan sebagai usaha yang membolehkan aktiviti kelimuan berkembang dengan pesat serta menyuburkan budaya cintakan ilmu pengetahuan.

Menjelang Ramadan ini juga Pusat Islam dan Pembangunan Insan (PIMPIN) bakal menganjurkan Festival Ramadan yang antaranya Pertandingan Video Pendek Tazkirah Ramadan, Solat Terawikh Bersama Imam Jemputan,  Iftar Jamaie dan Memasak Bubur Lambuk di RTC  Kuala Pahang dan Masjid UMP Gambang. Bakal berlangsung juga kolaborasi strategik bersama Etiqa dan Isuzu dalam Program Indahnya Ramadan dan banyak lagi. 

Acara pada kali ini mempertaruhkan pasukan terbaik dan hadiah individu lelaki dan individu wanita. Lebih 10 agensi media hadir memeriahkan program boling pada kali ini termasuklah Ketua Biro Bernama Pahang, Nor Shamsiah Mohamed, Mohana Zalani Md. Atan (Astro), Mohd. Jasmi Faisal Muda (RTM), Mohd. Shariza Abdullah (Utusan) dan wakil agensi media yang lain. 

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri