Skip to main content

UMP sumbang 600 cecair pensanitasi tangan (hand sanitizer) buat frontliner

Kuantan, 6 April- Sebagai usaha membantu  petugas barisan hadapan menangani penularan wabak Covid-19 ketika ini, Universiti Malaysia Pahang (UMP) menyumbang sebanyak 600 cecair pensanitasi tangan (hand-sanitizer) kepada barisan hadapan (frontliner) menerusi dua produknya iaitu triUMPH berkapasiti 1 liter manakala Germs Free Hand Sanitizer berkapasiti 30 ml yang mudah dibawa ke mana sahaja. 

Serahan disampaikan Eksekutif Kanan Pejabat Naib Canselor UMP, Saharudin Ramli kepada Dato Haji Md Yusli Ibrahim Mohd Yunus yang merupakan Setiausaha Sulit Kanan kepada YAB Menteri Besar Pahang. Hadir sama Pengurus Besar UMP Technology Sdn Bhd, Muhamad Nizam Abdul Rashid dan Saiful Anwar Izar dari Bahagian Khidmat Pengurusan di Pejabat Menteri Besar Pahang di Kuantan. 

Produk triUMPH adalah hasil inovasi syarikat kerjasama  UMP Technology Sdn Bhd dan MNR Multitech Sdn Bhd yang merupakan syarikat milik penuh UMP Holdings Sdn Bhd (UMPH). 

Manakala Germs Free Hand Sanitizer merupakan produk keluaran UMP Renal Care Sdn Bhd yang merupakan syarikat terbitan UMP. 

“Produk triUMPH adalah diformulasi mengikut standard World Health Organization (WHO). Kandungan alkohol 70 peratus dalam produk ini adalah efektif untuk membunuh virus. Sumbangan ini selaras dengan semangat UMP untuk menyumbang kepakaran dan hasil fasiliti buat komuniti sekeliling’” kata Muhamad Nizam.

Sementara itu , produk cecair pembasmi kuman yang dinamakan Germs Free Hand Sanitizer pula mengandungi ekstrak daun sireh bagi merencatkan pembiakan kuman. Ianya turut mengandungi Aloe Vera dan Vitamin E yang sesuai untuk kulit. Pada masa ini produk ini terdapat dalam bentuk cecair serta gel. 

Bagi Saharudin, sumbangan ini merupakan salah satu inisiatif tanggungjawab sosial kepada masyarakat semasa negara berdepan dengan ancaman penularan wabak Covid-19 dengan memberi fokus bantuan terhadap barisan hadapan yang bekerja keras dalam memutuskan rantaian virus ini.

Selain cecair pensanitasi tangan, UMP Renal Care Sdn Bhd turut mengeluarkan produk disinfektan tahap tinggi (high level disinfectant),iaitu Diaclean Pera sterilant yang berasaskan cuka makanan sebagai bahan nyah cemar permukaan seperti di kawasan perumahan awam, ruangan rumah, sekolah, pejabat dan hospital.

Dalam usaha membantu barisan hadapan (frontliners) yang bertungkus lumus bertugas memerangi wabak ini, UMPH turut melancarkan Tabung “triUMPH Frontliners’  bagi mengumpul sumbangan bagi membekalkan air minuman buat mereka. 

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri