Skip to main content

UMP tangguh serta merta aktiviti dan perjalanan ke China

Pekan, 3 Februari - Universiti Malaysia Pahang (UMP) sentiasa prihatin berhubung sebarang risiko ancaman penyebaran jangkitan seperti Novel Coronavirus (2019-nCoV) dalam kalangan warga universiti mahupun rakyat Malaysia secara umum.

Ianya termasuklah menasihatkan staf dan pelajar yang akan ke China agar membuat penangguhan perjalanan selain bersedia menjalankan saringan rapi terhadap warga UMP yang baru kembali dari China sama ada yang kembali daripada cuti semester atau pelajar yang baharu tiba di Malaysia.

Baru-baru ini pengurusan UMP telah membuat beberapa keputusan sebagai langkah proaktif bagi pencegahan dan pengawalan maksimum memandangkan universiti turut mempunyai pelajar antarabangsa dari China.

Buat masa ini, semua aktiviti dan perjalanan bagi staf dan pelajar ke China dan negara-negara yang telah dijangkiti ditangguh serta-merta akibat penularan wabak Novel Coronavirus (2019-nCov).

“Pihak universiti turut meminta pelajar yang kembali daripada cuti semester atau baru pulang dari China untuk menjalani saringan kesihatan setempat sebelum meneruskan aktiviti masing-masing. Selain mengikuti prosedur saringan kesihatan di lapangan terbang oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), mereka juga perlu mengikuti saringan kesihatan di universiti bagi memastikan tiada ancaman dan risiko terhadap warga UMP yang lain,” ujar Pendaftar UMP, Profesor Madya Dr. Mohd Ridzwan Darun merangkap Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Bencana. 

Warga UMP di kedua-dua kampus diarah untuk mematuhi arahan dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dari semasa ke semasa. UMP akan memastikan langkah pencegahan dan kawalan sewajarnya dilaksanakan secara berterusan. 

Pada masa yang sama UMP turut mengambil langkah proaktif dengan mengedarkan maklumat mengenai langkah pencegahan yang menepati saranan pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan KKM. 

Manakala Pusat Kesihatan Universiti (PKU) juga sentiasa berhubung rapat dengan Pejabat Kesihatan Daerah bagi memaklumkan sebarang perkembangan terkini mengenai wabak ini melalui saluran rasmi yang hanya dikeluarkan melalui pejabat ini.

Beliau menasihatkan warganya agar terus mengikuti perkembangan jangkitan ini melalui maklumat yang diperoleh daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Warga UMP dinasihati segera mendapatkan rawatan perubatan di PKU atau pusat rawatan berdekatan sekiranya didapati mengalami gejala jangkitan saluran pernafasan seperti demam, batuk atau kesukaran untuk bernafas.

Sebarang maklumat lanjut berhubung saringan kesihatan dan informasi yang berkaitan boleh menghubungi talian Pusat Kesihatan Universiti (PKU) di Pekan (094245777) atau Gambang (095493111).

Dalam pada itu, UMP akan menerima seramai 432 pelajar baharu akan hadir dalam sesi pendaftaran yang akan berlangsung di kedua-dua kampus pada 7 Februari ini. Ini termasuklah seramai 64 pelajar antarabangsa yang mana 36 daripadanya akan mengikuti program mobiliti selama enam bulan di  universiti ini.

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri