Skip to main content

UMP tawar lebih 30 program Kejuruteraan dan Teknologi 

Pulau Pinang, 10 Mac- Menjelang tiba pengumuman keputusan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Peperiksaan Malaysia( STPM) memberi peluang lepasan pelajar sekolah mendapatkan maklumat tepat dan terkini mengenai peluang pendidikan tinggi.

Berlangsung baru-baru ini, Program Jom Masuk IPT 2019 anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang berlangsung serentak di Padang Kawat Universiti Sains Malaysia ( USM) bagi Zon Utara dan di Oceanus Waterfront Mall Kota Kinabalu bagi Zon Sabah. Peluang ini turut dimanfaatkan pelajar sekolah, lepasan diploma dan setaraf, ibu bapa, guru dan komuniti  setempat.

Program  bermaklumat ini mensasarkan pengunjung  mengambil peluang mendapatkan maklumat tentang akreditasi dan pembiayaan bagi lepasan SPM, STPM dan setaraf di peringkat pengajian program asasi, diploma, ijazah pertama di universiti awam dan swasta serta sijil dan Diploma Kemahiran Malaysia di Institut Latihan Kemahiran Awam (ILKA).
 
Menurut Pengurus Bahagian Pemasaran dan Pengambilan Pelajar UMP (MID) , Helmi Mohamed Isa berkata, UMP menawarkan 29 program Ijazah Sarjana Muda serta  lima program diploma. Dua fakulti iaitu Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FKEE) dan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FKMP) beroperasi di Pekan manakala enam fakulti lain di Gambang.  
 
“Ianya juga sebagai hebahan kepada calon-calon pelajar mengenai kemasukan ke institusi pendidikan tinggi (IPT) seluruh negara bagi sesi kemasukan 2019/2020 serta merupakan platform yang memberi kemudahan kepada orang ramai bagi mendapatkan maklumat penawaran program akademik yang ditawarkan oleh 20 Universiti Awam (UA), Politeknik, Kolej Komuniti, Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA), institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) dan Institusi lain,” katanya.

Pihaknya mempelawa orang ramai untuk terus  berkunjung ke Program Jom Masuk IPT pada 16 dan 17 Mac di AEON Mall Kota Bharu Kelantan (Zon Timur), Mydin Mall Petra Jaya Kuching pada 23 dan 24 Mac ( Zon Sarawak), dan MAEPS Serdang (Zon Tengah) pada 30 dan 31 Mac ini. 

Dalam pada itu, menurut Eksekutif Kanan MID, Rosilavi Mat Jusoh , pihaknya juga berkunjung ke sekolah dan Kolej Matrikulasi bagi memberi penerangan dalam Program Bicara Kerjaya juga berkongsi panduan pemilihan program sesuai mengikut minat dan syarat kelayakan agar pelajar membuat pilihan dengan tepat. 

UMP turut menawarkan program berteraskan Kejuruteraan dan Teknologi yang berkualiti dan diiktiraf. Antara program diiktiraf antarabangsa yang ditawarkan di universiti ini adalah Program Dwi-Ijazah Kejuruteraan Mekatronik dan Kejuruteraan Automotif iaitu hasil kerjasama dengan universiti di Jerman, Hochscule Karlsruhe Und Wirtschaft (HsKA) juga Program Dwi-Ijazah dalam Kejuruteraan Perniagaan hasil kerjasama dengan Reutlingen University (HsR), Jerman bagi mengembangkan bidang kejuruteraan perniagaan di Malaysia. 

Universiti ini juga merupakan destinasi pendidikan tinggi pilihan pelajar lepasan sekolah dan golongan bekerjaya untuk melanjutkan pengajian di peringkat Diploma, Ijazah Sarjana Muda, Sarjana dan Kedoktoran. Malahan, menerusi UMP Advanced turut memberi peluang orang ramai mengikuti pengajian profesional dan program pengajian sepanjang hayat. 

Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim