Skip to main content

UMP terima 2,110 mahasiswa baharu

Pekan, 16 Oktober 2020 - Seramai 2,110 mahasiswa baharu Universiti Malaysia Pahang (UMP) mendaftar dalam talian bagi program Ijazah Sarjana Muda Sesi Akademik 2020/2021. 

Mereka terdiri daripada 563 mahasiswa mengikuti pengajian di Kolej Teknologi Kejuruteraan (KTK), 597 mahasiswa Kolej Kejuruteraan (KK), 706 mahasiswa Kolej Komputeran dan Sains Gunaan (KKSG) dan 245 mahasiswa Kolej Pengurusan dan Kemanusiaan (KPK).   
Uniknya kali ini kesemua mahasiswa baharu mengikuti Program Minggu Induksi Siswa 2020 (MINDS 20’) yang berlangsung secara dalam talian mulai 14 hingga 18 Oktober 2020 yang menampilkan segmen bersama fakulti, diskusi akademik normal baharu, kebudayaan, taklimat Sistem dalam talian KALAM, program bersama alumni UMP, tajaan PTPTN, Bicara Naib Canselor dan Bacaan Ikrar Mahasiswa Baharu.

Naib Canselor UMP, Profesor Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusoff yang menemui mahasiswa baharu secara dalam talian di Facebook dam Youtube UMP Malaysia baru-baru ini berkata, mahasiswa baharu disaran memiliki kemahiran insaniah (Soft Skills) yang cemerlang di samping mempunyai prestasi akademik yang baik.  

“Dengan menumpukan lima nilai teras UMP yang perlu dijadikan pedoman dan rujukan buat warga diharapkan dapat bergerak bersama merealisasikan visi dan misi UMP. 

“Ia adalah hubungan yang kuat dengan Maha Pencipta, teguh mempertahankan prinsip yang disepakati dan kreatif dalam membuat keputusan yang bijaksana. 

“Manakala dua lagi nilai adalah cekal menghadapi cabaran dan proaktif dalam tindakan.

“Dalam konteks nilai teras ini apabila mahasiswa mengamalkannya kita berharap akan terbentuknya suatu masyarakat yang akan berfungsi kepada negara,” katanya. 

Jelas beliau lagi, universiti merupakan tempat untuk melahirkan graduan yang mendokong hasrat dan falsafah negara kita. 

“Tambahan pula dalam era teknologi kini tertumpu kepada penggunaan media sosial sebagai alat perkongsian dan penyebaran maklumat. 

“Justeru, universiti tidak dapat mengawal sesiapapun termasuk mahasiswa dalam penggunaannya sama ada untuk mempengaruhi ataupun memberi pandangan.

“Sebagai sebuah universiti, ia turut berhasrat untuk menanam nilai-nilai yang baik kepada mahasiswa walaupun terdapat ancaman yang kuat dari media sosial dan internet,” katanya. 

Beliau juga mengharapkan mahasiswa dapat mengambil nilai-nilai baik itu untuk digunakan sebagai persediaan apabila berdepan pengaruh luar.

“Contohnya, apabila kita dapat lihat netizen yang memberi pandangan dan pendapat di media sosial, ada yang menyokong dan menentang namun segelintirnya mengutarakan pandangan dengan tidak mengambil kira nilai.

“Kita bukan menghalang mahasiswa untuk tidak boleh kritis, namun adab dan nilai perlu mendahului ilmu pengetahuan. 

“Apabila tidak setuju dengan sesuatu perkara, mereka perlu belajar bagaimana hendak menunjukkan ketidaksetujuan atau memberi pandangan itu dengan cara yang beradab dan tidak musnahkan masyarakat,” katanya dalam program Bicara Naib Canselor dan Bacaan Ikrar Mahasiswa Baharu.

Tambahnya lagi, mahasiswa juga perlu mengambil peluang manfaatkan sepanjang tempoh pengajian mereka di universiti untuk mencorak pengalaman kampus dan pengalaman sosial yang berkualiti. 

“Dalam usaha melahirkan graduan yang holistik dan selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara (FPN), ada menyebut tentang keseimbangan pencapaian pelajar dalam empat aspek iaitu Jasmani, Emosi, Rohani dan Intelek (JERI),” ujar beliau. 

Profesor Ir. Dr. Wan Azhar juga membicarakan tentang holistik dari segi akademik bermakna ia tidak hanya mempunyai ilmu pengetahuan dan kebolehan dalam bidang pengkhususan sahaja, contohnya mahasiswa mekanikal biasanya mereka akan peroleh ilmu mekanikal sahaja. 

“Malahan mereka turut berpeluang mengikuti kursus–kursus minor bagi membolehkan mahasiswa meneroka kursus-kursus tersebut yang menjadikan mereka bukan sahaja mahir dalam satu bidang sahaja,” katanya. 

Tambahnya, pengiktirafan yang diraih universiti adalah kebijaksanaan mahasiswa dan alumni universiti yang juga merupakan faktor terbesar yang akan menentukan kejayaan UMP kerana mereka ini merupakan pemangkin kepada universiti.

Beliau juga menyampaikan pesanan buat mahasiswa iaitu membaca itu adalah sangat penting kerana hampir 90 peratus pencarian ilmu adalah dari pembacaan sama ada dalam pengkuliahan, pembentangan atau perbincangan. 

“Justeru, ilmu pengetahuan itu diperoleh jika berlakunya proses pembacaan dan jika ingin berjaya perlu ada minat dan kebolehan untuk menimba ilmu.

“UMP melaksanakan Pembelajaran dan Pengajaran (PdP) dalam talian semasa berdepan pandemik COVID-19. 

“Tidak dinafikan kaedah ini banyak memberi manfaat kepada mahasiswa kerana mereka boleh mengulang kaji semula sesi pembelajaran yang telah direkodkan. 

“Namun sebagai universiti teknikal yang banyak terlibat dengan modul yang memerlukan hands-on, ia merupakan suatu cabaran yang harus ditempuhi. 

“Berdepan dengan situasi ini, UMP mengambil pendekatan memulakan pembelajaran secara teori dalam talian diikuti kerja-kerja makmal yang dilaksanakan nanti,” ujarnya. 

Disediakan Oleh: Nor Salwana Mohd Idris Daripada Unit Perhubungan Awam dan Media, Pejabat Naib Canselor (PNC)
 

Reports by:
Nor Salwana bt Hj Mohammad Idris