Skip to main content

UMP terima bantuan topeng muka dan pakaian perlindungan daripada HBU China

Kuantan, 7 April- Genap sebulan Universiti Malaysia Pahang (UMP) menyumbang sarung tangan perubatan untuk kegunaan petugas hospital di Hebei University China (HBU) sewaktu penularan wabak COVID-19 di negara berkenaan, kini UMP menerima bantuan sumbangan topeng muka dan pakaian perlindungan (PPE) daripada universiti berkenaan untuk kegunaan petugas barisan hadapan UMP.

Sebanyak 1000 topeng muka dan 100 set pakaian perlindungan (PPE) tiba di Pusat Kesihatan UMP Gambang dan bantuan seterusnya akan tiba tidak lama lagi secara berperingkat.  

Menurut Pengarah Institut Confucius UMP, Yong Ying Mei berkata, pihak HBU telah mengirimkan topeng muka dan pakaian perlindungan pada awal bulan lalu sebaik sahaja negara Malaysia memulakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) namun barang-barang ini tiba agak lewat atas kekangan perjalanan melibatkan dua negara.

“Bantuan kedua topeng muka dari HBU sudah pun dalam perjalanan ke UMP dan pihak HBU mengharapkan sumbangan ini dapat membantu universiti tatkala Malaysia masih berdepan dengan penularan wabak ini. UMP telah menghulurkan bantuan sarung tangan kepada HBU sebelum ini ketika penularan wabak COVID-19 di China. Kini sokongan dari HBU seperti “bukit sama didaki, lurah sama dituruni,” katanya menyampaikan pesanan daripada pihak HBU.

Ujar beliau, Presiden Hebei University China, Profesor Dr Kang Le telah menyampaikan surat rasmi kepada UMP dan mendoakan semoga warga UMP dalam keadaan sihat serta berharap negara Malaysia dapat mencegah penularan wabak Covid-19.

Begitu juga pesanan daripada Timbalan Presiden (Akademik dan Antarabangsa) HBU, Profesor Dr Shen Shigang, berkata bantuan topeng muka akan diteruskan ke UMP mengikut keperluan semasa. Manakala Timbalan Presiden (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) HBU, Profesor Dr Meng Qingyu, menghargai hubungan rakan strategik antara UMP dan HBU yang telah menjalinkan kerjasama erat sejak tahun 2011 dalam program mobiliti sehingga tertubuhnya  Institut Confucius di UMP.

Bagi Naib Canselor UMP, Profesor Ir Dr. Wan Azhar Wan Yusoff, pihaknya menghargai bantuan dan sumbangan pihak HBU dalam mengeratkan jalinan kerjasama baik antara kedua-dua pihak. “Terima kasih kepada pihak HBU dalam memberi sumbangan kepada UMP. Kini bekalan topeng muka sukar didapati dalam pasaran negara dan sumbangan ini akan digunakan terutamanya buat frontliners yang masih memberi perkhidmatan di dalam kampus,” katanya.  

Malaysia merupakan pengeluar utama di dunia bagi pembuatan sarung tangan perubatan telah mengambil inisiatif menghantar sumbangan sarung tangan perubatan ke hospital di Hebei Unviersity ketika negara itu sedang menghadapi kekangan barang keperluan perubatan akibat COVID-19. Kini negara China telah diumum bebas COVID-19 apabila tiada jangkitan baharu (domestik) dilaporkan di Wilayah Hubei yang menjadi pusat penularan wabak itu.

TAGS / KEYWORDS