Skip to main content

UMP terima dana TERAJU 2.27 juta bagi Projek Fertigasi Inovasi IOT

Kuantan, 16 Julai 2020 – Universiti Malaysia Pahang (UMP) melalui Pusat Jaringan Industri dan Masyarakat (ICoN) memperoleh geran bernilai RM2,270,000 daripada Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) bagi pelaksanaan program di bawah Dana Pembangunan Usahawan Bumiputera (DPUB) 2020 di  Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).

Projek IOT Based Smart Farming System yang berlandaskan aplikasi pertanian dan teknologi ini bakal meningkatkan taraf hidup bumiputera terutama golongan keluarga berpendapatan rendah (B40) di luar bandar di samping mencipta peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat.

Menurut Pengurus Projek, Yusmin Jaafar daripada Pusat Jaringan Industri dan Masyarakat (ICoN), projek ini mendapat kerjasama pelbagai pihak di UMP yang memiliki kepakaran dalam bidang fertigasi dan internet untuk semua (IOT) bagi menghasilkan suatu projek tanaman fertigasi dengan teknologi baharu.  

“Bagi melaksanakan projek ini, ia akan menggunakan kepakaran pensyarah Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP), Dr. Nor Hanuni Ramli dan pensyarah Fakulti Teknologi Kejuruteraan Pembuatan dan Mekatronik (FTKPM), Dr. Najmudin Ibrahim.

“Projek ini akan melibatkan seramai 45 orang peserta yang akan menjalani latihan mengenai sistem penanaman secara moden iaitu fertigasi dengan inovasi IOT. 

“Projek yang dijangka mengambil masa lima tahun ini akan bermula pada tahun hadapan dan dua tahun pertama merupakan proses pelaksanaan projek manakala bakinya melibatkan pemantauan projek,” katanya.

Projek ini turut mendapat kerjasama pelbagai agensi luar seperti Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Pertubuhan Pengusaha Agro Malaysia (PPAM) serta turut mendapat penglibatan dari UMP Technology Sdn. Bhd. dengan mengguna pakai platform ‘Pasor Online’ yang dilihat dapat membantu dalam meningkatkan lagi prospek pemasaran produk-produk berasaskan pertanian.

Disediakan Oleh: Rozana Sahadan, Pusat Jaringan Industri dan Masyarakat (ICoN) dan Siti Nurfarmy, Unit Perhubungan Awam Pejabat Naib Canselor

Reports by:
Admin UMP News