Skip to main content

UMP terima Naib Canselor Keempat

Pekan, 16 Mei- Profesor. Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusoff memulakan tugas sebagai Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang (UMP) yang baharu hari ini setelah dilantik ke jawatan tersebut untuk tempoh tiga tahun berkuat kuasa 16 Mei 2019 hingga 15 Mei 2022. 

Beliau yang merupakan Naib Canselor UMP keempat menerima dokumen serahan tugas daripada mantan Naib Canselor, Profesor Dato Sri Dr Daing Nasir Ibrahim yang telah tamat tempoh pelantikan pada semalam (15 Mei 2019). Hadir menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Naib Canselor ialah Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Dato Sri Ibrahim Ahmad.

“Pertamanya saya ingin nyatakan penghargaan dan terima kasih Profesor Dato’ Sri Dr. Daing Nasir Ibrahim atas perkhidmatan cemerlang beliau sebagai Naib Canselor ketiga UMP selama 11 tahun. Secara peribadi, saya telah berpeluang untuk belajar banyak perkara dengan kepimpinan beliau di UMP. Tentu sekali saya amat berterima kasih atas kepercayaan yang diberikan kepada saya untuk memegang pelbagai portfolio di UMP selama ini,” katanya.

Ujarnya, ruang dan peluang yang diberikan selama ini telah digunakan sedaya mungkin untuk memperbaiki diri dengan nilai tambah pengalaman dan pengetahuan seluas-luasnya. Pengalaman dan pengetahuan yang telah ditimba itulah Insya-Allah menjadi sumber kekuatan buatnya melunaskan kewajipan sebagai Naib Canselor Universiti ini.

Profesor. Ir. Dr. Wan Azhar yang berasal dari Pasir Putih, Kelantan ini memiliki kelulusan Sarjana Muda Sains dalam Kejuruteraan Mekanikal dari Universiti Michigan Ann Arbor, USA (1990), Sarjana Sains dalam Kejuruteraan Mekanikal di Rensselaer Polytechnic Institute, USA (1992) dan Doktor Falsafah (Teknologi Pembuatan Termaju) di Universiti Sains Malaysia (2004).

Sebelum ini beliau merupakan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) yang dilantik sejak 1 Disember 2018. Mula berkhidmat sebagai pensyarah UMP di Fakulti Kejuruteraan Mekanikal sejak tahun 2004, Prof. Ir. Dr. Wan Azhar, 52  pernah memegang jawatan sebagai Dekan di Fakulti Kejuruteraan Pembuatan selama lima tahun  bermula dari tahun 2012. Beliau juga pernah dilantik sebagai Pengarah Pusat  Inovasi & Daya Saing Akademik UMP dari tahun 2011 hingga 2013.

Bagi Dato Sri Ibrahim, dengan pelantikan ini berharap UMP akan terus mengekalkan kecemerlangan sebagai universiti teknologi terunggul lima bintang dalam menerajui bidang kejuruteraan dan teknologi bukan sahaja di Malaysia malahan di persada antarabangsa. 

Menurutnya, pihak Universiti ingin merakamkan terima kasih Naib Canselor UMP ketiga, Prof. Dato Sri Dr Daing Nasir Ibrahim yang merupakan Bapa Transformasi universiti ini dan telah menyumbang dalam memartabatkan UMP menjadi antara universiti terbaik Asia dan persada antarabangsa. 

Berada pada landasan terbaik, UMP akan terus memperkasa latihan kemahiran Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di negara ini seperti yang dihasratkan  Menteri Pendidikan serta  sentiasa memastikan pembentukan kurikulum akademik yang dihasilkan lebih inovatif dengan disokong oleh staf yang kompeten dan profesional serta menjadikan infrastruktur akademik lebih efisyen berorientasikan keperluan industri dan masyarakat.

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri